Kelantan terendah, hanya 8 ikrar derma organ

Kelantan terendah, hanya 8 ikrar derma organ

Antara halangan derma organ keluarga mahu menghormati jenazah dan dibimbangi proses pemindahan mungkin menyebabkan kelewatan pengebumian.

organ donor
Kelantan berada pada kedudukan terakhir daripada 16 pecahan negeri dan wilayah senarai pengikrar derma organ di Malaysia iaitu 0.45%. (Gambar Envato Elements)
KOTA BHARU:
Kesedaran masyarakat terhadap pendermaan organ di Kelantan masih rendah apabila cuma 0.45% daripada keseluruhan penduduk negeri ini menjadi pengikrar penderma organ.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Dr Zaini Hussin, berkata setakat ini hanya lapan penderma organ direkodkan dari negeri ini sejak program ikrar organ diperkenalkan pada 1997.

“Kadar pendaftaran penderma organ terutama dalam kalangan penduduk luar bandar dan golongan muda masih rendah serta perlu ditingkatkan. Selain menggalakkan orang ramai menjadi pengikrar, kita juga perlu tingkatkan jumlah penderma.

“Keperluan organ agak tinggi terutama buah pinggang dan kornea mata selain jantung dan hati. Seorang penderma boleh menyelamatkan sehingga tiga hingga empat nyawa untuk mendapat kehidupan baharu,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Minggu Kesedaran Pendermaan Organ 2025 peringkat Kelantan di Hospital Raja Perempuan Zainab II.

Zaini berkata, tanggungjawab menyemarakkan kesedaran penduduk terhadap pendermaan organ menuntut kerjasama semua pihak kerana masyarakat memerlukan penjelasan daripada pakar, pihak berkuasa dan ilmuwan agama.

Beliau berkata, walaupun ramai yang menyokong secara prinsip, namun masih terdapat kekangan dari segi kefahaman, mitos, persepsi agama dan juga sokongan ahli keluarga berhubung pendermaan organ.

“Mungkin banyak perkara yang bermain dalam fikiran menyebabkan mereka takut menjadi pengikrar atau penderma organ, sebab itu perlunya penjelasan diberikan oleh pelbagai pihak,” katanya.

Beliau berkata, antara persepsi atau halangan untuk menderma organ yang dikenal pasti adalah keluarga mahu menghormati jenazah dan dibimbangi proses pemindahan organ mungkin menyebabkan kelewatan pengebumian.

Berdasarkan Pusat Sumber Transplan Nasional, Kelantan berada pada kedudukan terakhir daripada 16 pecahan negeri dan wilayah senarai pengikrar derma organ di Malaysia iaitu 0.45%, manakala Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mencatat jumlah tertinggi dengan 2.32% pengikrar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.