Prasekolah usia 5 tahun langkah tepat bantu B40

Prasekolah usia 5 tahun langkah tepat bantu B40

Ahli akademik berkata usaha kerajaan dilihat mampu ringan beban ibu bapa dan lancarkan persediaan kanak-kanak ke sekolah rendah.

tadika
Kerajaan akan mewajibkan pendidikan prasekolah bagi kanak-kanak rakyat Malaysia mulai usia lima tahun bawah RMK13.
PETALING JAYA:
Pendidikan prasekolah bermula usia lima tahun yang akan dilaksanakan di sekolah kerajaan dilihat mampu membantu golongan B40 supaya mereka tidak perlu menanggung kos tinggi di pusat pendidikan swasta.

Pakar pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Anuar Ahmad, berkata laporan Bank Dunia pada 2023 mendapati kadar kemasukan murid ke prasekolah sekitar 86% kerana ada segelintir ibu bapa tidak mampu dari segi kewangan.

“Ketika ini, kerajaan pun tidak menyediakan begitu banyak prasekolah, terutamanya kawasan bandar ini, dan akhirnya mereka terpaksa membayar untuk (masukkan anak) ke prasekolah swasta yang harganya mahal. Jadi ini memberikan kesan perbelanjaan kepada keluarga miskin.

“Sebab itu, apabila kerajaan bersetuju untuk ambil alih dan uruskan sepenuhnya prasekolah ini, pada saya (ini) usaha yang sangat baik,” katanya kepada FMT.

Anuar Ahmad.
Anuar Ahmad.

Ketika membentangkan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat hari ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan mewajibkan pendidikan prasekolah mulai usia lima tahun.

“Lebih banyak kemudahan prasekolah di sekolah kelolaan Kementerian Pendidikan (KPM) akan disediakan terutama di kawasan desa,” kata perdana menteri.

Mengulas lanjut, Anuar berkata, langkah tersebut juga mampu memastikan kesinambungan pembelajaran dari peringkat prasekolah hingga sekolah menengah seperti dilakukan di kebanyakan negara maju.

Dalam pada itu, ahli akademik Mohd Effendi @ Ewan Mohd Matore juga dari UKM berkata, perkara ini wajar dilaksanakan asalkan kandungan pembelajaran sesuai dengan tahap usia kanak-kanak tersebut.

Mohd Effendi @ Ewan Mohd Matore.
Mohd Effendi @ Ewan Mohd Matore.

“Penumpuan mesti diberikan pada penumpuan akhlak dan nilai murni. Usaha ini juga boleh melatih kanak kanak untuk berdikari dan mengurus diri dengan baik.

“Tidak perlu fokus hanya pada kandungan yang berat, tetapi perlu lebih kepada sahsiah,” katanya.

Effendi berkata, kerajaan juga wajar memperhalusi kurikulum pendidikan prasekolah supaya kanak-kanak tidak terbeban, sebaliknya merasai keseronokan belajar.

“Selain itu, keputusan ini akan melancarkan persediaan kanak-kanak lebih awal sebelum ke alam persekolahan (rendah) kelak,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.