Polis akan ambil tindakan individu tak hormat lagu Negaraku

Polis akan ambil tindakan individu tak hormat lagu Negaraku

Polis berkata jika perbuatan itu dilakukan di hadapan anggota polis, individu terbabit akan ditangkap.

Tangkap layar video Facebook menunjukkan sukarelawan S4S tidak berdiri ketika lagu Negaraku dimainkan.
KUALA LUMPUR:
Tindakan undang-undang boleh diambil sekiranya ada individu tertentu yang tidak menghormati lagu kebangsaan sewaktu ia dimainkan, kata polis.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Mior Faridalathrash Wahid berkata, ia susulan terdapat insiden beberapa individu di Sarawak tidak menghormati lagu kebangsaan, Negaraku.

“Memang jadi satu kesalahan di bawah Akta Lagu Kebangsaan 1968. Jika gagal memberi penghormatan semasa lagu Negaraku dimainkan, atau dinyanyikan.

“Kalau ia dilakukan di hadapan anggota polis, tangkapan boleh dibuat,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Mior Faridalathrash berkata, pihaknya bagaimanapun belum menerima sebarang laporan berhubung insiden yang dipercayai berlaku di Sarawak.

“Setakat ini belum ada laporan yang diterima. Kalau ada laporan diterima, mungkin boleh diambil tindakan bawah undang-undang berkenaan,” katanya.

Video berdurasi 22 saat itu dipercayai dimuat naik pemilik akaun Facebook yang menggunakan nama Shaow Tung Leong.

Dalam hantaran di Facebook, pemiliknya menulis ‘I will not stand and sing Malaya national anthem, coz non of my business (Saya tidak akan berdiri untuk menyanyikan lagu kebangsaan Malaya kerana ia bukan urusan saya).

Kejadian itu berlaku dalam acara makan malam anjuran sebuah parti tempatan dan apabila penganjur memainkan lagu Negaraku, hanya sukarelawan S4S tidak berdiri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.