
Ia selepas Indonesia menyalahkan beberapa syarikat yang didakwa Jakarta terbabit dalam penebangan hutan di negara itu.
“Kerana kita tidak boleh mengamalkan bidang kuasa luar sempadan,” katanya selepas menghadiri sebuah program di sini, hari ini.
“Itu cadangan yang kerajaan sedang kaji,” katanya tanpa mendedahkan sama ada tindakan itu hanya membabitkan syarikat tempatan.
Bidang kuasa luar sempadan membolehkan kerajaan mengamalkan penguatkuasaan melangkau sempadan biasa mereka.
Awal bulan ini, Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar Yeo Bee Yin dilaporkan berkata, kementeriannya sedang menunggu lampu hijau Kabinet untuk mendraf Akta Jerebu Rentas Sempadan.
Katanya, akta itu membenarkan tindakan diambil terhadap syarikat Malaysia yang menyebabkan jerebu rentas sempadan.
Buat masa ini, Malaysia hanya mempunyai Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang mempunyai peruntukan khas melarang pembakaran terbuka.
Pada 13 September lalu, Indonesia menamakan empat syarikat perladangan sawit dari Malaysia yang didakwa terbabit dalam penebangan hutan menggunakan kaedah tebang dan bakar.
Syarikat itu adalah Sime Indo Agro, unit Sime Darby Plantation yang berpangkalan di Kalimantan Barat, Sukses Karya Sawit (unit IOI Corporation), Rafi Kamajaya Abadi (unit TDM Bhd) dan Adei Plantation and Industry, unit Kumpulan Kuala Lumpur Kepong, yang berpangkalan di Riau.
Hari ini, Lim berkata, Putrajaya mungkin memasukkan kategori pendapatan isi rumah baru B20 berbanding B40 dalam Rancangan Malaysia ke-12.
Bagaimanapun, katanya, ini hanya boleh dilakukan selepas kajian terperinci dilakukan dan ia mungkin tidak sempat disenaraikan dalam Bajet 2020 yang akan dibentangkan bulan depan.
Beliau merujuk satu kajian dijalankan Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) yang mencadangkan perubahan terhadap kategori pendapatan isi rumah B40, M40 dan T20.
Kajian itu menyarankan kerajaan menyelaras semula isi rumah terendah 20 peratus, pertengahan 50 peratus dan atas 30 peratus.