
Menurut Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (Peka), kerajaan negeri masih bergantung pada projek pelebaran dan pendalaman sungai yang menelan belanja besar, sedangkan punca asas banjir, iaitu pembalakan dan penebangan hutan, terus dibiarkan.
“Mitigasi banjir di Malaysia tidak bermula dengan konkrit. Ia bermula dengan menghentikan pemusnahan hutan kita,” kata Presiden Peka Rajesh Nagarajan.
Dalam kenyataan, Rajesh berkata, hutan bukan isu sampingan dalam kawalan banjir, sebaliknya barisan pertahanan pertama kerana berfungsi menyerap hujan, mengawal aliran permukaan, menstabilkan tanah serta melindungi sistem sungai.
Katanya, kehilangan hutan menyebabkan air mengalir lebih deras, bertakung lebih cepat dan melebihi kapasiti infrastruktur di kawasan hilir, menjadikan banjir sesuatu bencana yang boleh dijangka.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor Izham Hashim bahawa masalah banjir di negeri itu mungkin perlu masa empat tahun untuk diselesaikan.
Rajesh berkata, dakwaan kerajaan negeri bahawa banjir hanya dapat diselesaikan dalam tempoh empat tahun dengan perbelanjaan awam yang besar ‘bukan kenyataan tentang keperluan’, sebaliknya ‘pengakuan tentang keutamaan yang tersasar’.
Menurutnya, pada 2010, Jabatan Perhutanan menyatakan kerajaan negeri telah mengenakan moratorium pembalakan selama 25 tahun bagi memelihara khazanah hutan.
Beliau berkata, Selangor tidak boleh terus membiarkan kegiatan pembalakan, termasuk di kawasan tadahan air dan kawasan sensitif alam sekitar, kemudian meletakkan beban menanggung kos kerosakan di bahu rakyat.
Selain menguatkuasakan moratorium pembalakan, Rajesh berkata, kerajaan negeri sepatutnya menggerakkan program penanaman semula hutan dan pemulihan ekologi di seluruh negeri, khususnya di kawasan hutan simpan dan tadahan air yang telah merosot.
Kerajaan negeri juga dituntut supaya lebih tegas menguatkuasakan undang-undang alam sekitar terhadap penggondolan tanah secara haram atau secara berlebihan.
“Ini bukanlah pilihan dasar, ini syarat minimum,” kata Rajesh.
Tambahnya, selagi kerajaan negeri gagal menyelesaikan percanggahan ini, sebarang pelan tebatan banjir empat tahun ‘hanya akan menjadi satu langkah yang menelan belanja besar semata-mata untuk menguruskan akibat daripada keputusan mereka sendiri’.