
Mereka mendakwa, hutan hujan di negara kepulauan yang kaya dengan hasil bumi itu kini terancam teruk akibat kegiatan pembalakan tidak mapan dan penebangan hutan berskala besar oleh syarikat dari Malaysia atau yang ada kaitan dengannya.
Protes itu menyusuli pendedahan laporan 56 muka surat bertajuk ‘Malaysia’s Timber Colony: Exposing Malaysia’s Grip Over Papua New Guinea’s Forests’ yang dikeluarkan minggu lepas.
Laporan oleh badan pemikir alam sekitar RimbaWatch Malaysia itu diterbitkan bersama Bruno Manser Fonds, Switzerland (BMF) dan Papua New Guinea Environmental Alliance (PNGEA).
Menurut laporan itu, firma Malaysia menguasai 97% lesen ‘Forest Clearing Authority’ (FCA), iaitu permit yang membenarkan hutan ditebang untuk dijadikan kawasan pertanian.
Laporan itu juga mendakwa 44 daripada 79 rakyat Malaysia yang dikaitkan dengan lesen-lesen ini mempunyai hubungan dengan syarikat-syarikat pembalakan utama yang berpangkalan di Sarawak.
Turut serta dalam bantahan di sebuah sidang media hari ini ialah wakil PNGEA Pamela Avusi; Pengarah RimbaWatch Adam Farhan; wakil BMF Johanna Michel; Komeok Joe daripada pertubuhan Orang Asli Keruan, Sarawak; serta aktivis hak tanah Papua New Guinea Samuel Kime.
Avusi berkata, kegiatan syarikat berkaitan Malaysia itu boleh menggugat sekurang-kurangnya 1.68 juta hektar hutan hujan primer di PNG, kawasan seluas Johor.
“Lesen FCA adalah satu amalan pembalakan yang amat tidak mapan dan sering dikaitkan dengan pencabulan hak Orang Asli.
“Kami menggesa syarikat balak Malaysia yang terlibat agar melepaskan lesen-lesen ini,” katanya pada sidang media di ibu pejabat C4 hari ini.
Sementara itu, Samuel mendakwa kebanyakan pemegang lesen FCA gagal menepati janji pembangunan pertanian mereka, sebaliknya sebahagian besar keuntungan hanya dinikmati oleh syarikat pembalakan.
“Syarikat-syarikat itu mengaut keuntungan kira-kira RM842 juta sehingga 2021, namun hanya sedikit sahaja habuan yang sampai kepada masyarakat Orang Asli,” katanya.
Papua New Guinea menempatkan sebahagian daripada ekosistem hutan hujan tropika ketiga terbesar dunia dan merupakan antara pengeksport utama kayu balak tropika.