Jerebu tebal, kualiti udara di Delhi capai tahap berbahaya

Jerebu tebal, kualiti udara di Delhi capai tahap berbahaya

Pihak berkuasa Delhi menasihatkan penduduk elak aktiviti fizikal di luar rumah, kecuali jika benar-benar perlu.

Sebuah kenderaan menyembur wap air ke udara bagi mengurangkan pencemaran ketika jerebu tebal menyelubungi New Delhi di India. (Gambar EPA Images)
NEW DELHI:
Kualiti udara di Delhi dan kawasan sekitarnya mencapai tahap berbahaya pada Isnin ketika jerebu tebal menyelubungi beberapa bahagian ibu negara India itu, lapor Xinhua.

Menurut Lembaga Kawalan Pencemaran Pusat, banyak kawasan khususnya di bahagian timur Delhi dan kawasan berhampiran mencatatkan indeks kualiti udara sekitar 450, tahap “berbahaya” mengikut piawaian pencemaran udara.

Sejak beberapa hari lalu, kualiti udara di Delhi dan kawasan berhampiran kekal rendah menyebabkan sebahagian penduduk mengalami sesak nafas, manakala jumlah pesakit menghidap masalah pernafasan meningkat dengan ketara di beberapa hospital kerajaan, menurut laporan media tempatan.

Sebagai langkah berjaga-jaga, pihak berkuasa Delhi mengeluarkan nasihat kesihatan yang mengarahkan penduduk mengelakkan aktiviti fizikal di luar rumah, kecuali jika benar-benar perlu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.