Pegawai imigresen disyaki terbabit sindiket penipuan dokumen ditahan

Pegawai imigresen disyaki terbabit sindiket penipuan dokumen ditahan

Suspek ditahan reman sehingga Jumaat dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai imigresen ditahan bersama seorang wanita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kerana disyaki terbabit dalam sindiket penipuan dokumen.

Ketua Polis Daerah KLIA Zulkifli Adamsah berkata pada mulanya anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA yang sedang membuat rondaan di kawasan letak kenderaan KLIA pada kira-kira 1.30 petang semalam mengesan sebuah kereta Hyundai Sonata yang dipandu wanita berusia 45 tahun dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan di dalam kereta, polis menemui kotak yang mengandungi sejumlah wang tunai, beberapa pasport dari China dan Indonesia serta kad pengenalan berwarna merah, disembunyikan di bawah tempat duduk penumpang hadapan,” katanya ketika dihubungi.

Ketika pemeriksaan dibuat, seorang lelaki yang mendakwa sebagai pegawai imigresen berusia 40 tahun mengaku kereta itu miliknya.

Difahamkan, hasil soal siasat mendapati suspek wanita mengaku pasport yang ditemui milik rakannya yang berada di luar negara dan akan memasuki Malaysia.

Zulkifli berkata kedua-dua suspek ditahan reman sehingga Jumaat ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud mengesahkan seorang pegawainya ditahan kerana disyaki terbabit dalam kegiatan pemalsuan cop keselamatan jabatan itu.

Beliau berkata pihaknya akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada polis bagi membantu siasatan.

“Imigresen tidak akan berkompromi dan melindungi mana-mana pegawai yang tidak berintegriti dan terlibat dalam aktiviti yang melanggar undang-undang.

“Tindakan tegas akan diambil mengikut peruntukan undang-undang sedia ada jika pegawai berkenaan terbukti bersalah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.