Polis tahan MPV, rampas dadah RM12.9 juta di Perak

Polis tahan MPV, rampas dadah RM12.9 juta di Perak

Ketua Polis Perak Noor Hisam Nordin berkata dua suspek yang menaiki MPV itu berjaya melarikan diri dan sedang diburu.

Ketua Polis Perak Noor Hisam Nordin berkata pemeriksaan pada kenderaan itu menemui methamphetamine seberat 374kg dan heroin seberat 11.28kg yang dianggarkan bernilai RM12.9 juta.
IPOH:
Polis merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM12.9 juta hasil pemeriksaan terhadap sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di KM375 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan, dekat Slim River, Isnin lepas.

Ketua Polis Perak Noor Hisam Nordin berkata sebelum itu, kira-kira 1.30 tengah hari, pasukan peronda lebuhraya (EMPV) Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman mengarahkan MPV itu berhenti, namun pemandunya enggan memberikan kerjasama dan cuba melarikan diri.

Beliau berkata polis kemudian mengejar MPV itu sejauh kira-kira dua kilometer sebelum suspek memberhentikan kenderaan berkenaan dengan dua individu melarikan diri ke kawasan hutan berhampiran.

“Usaha untuk menjejaki kedua-dua suspek sedang giat dijalankan,” katanya pada sidang media di IPK Perak.

Noor Hisam berkata hasil pemeriksaan menemukan 15 karung guni mengandungi dadah disyaki methamphetamine dianggarkan 374kg serta satu bungkusan plastik berwarna hitam berisi dadah dipercayai heroin seberat 11.28kg yang keseluruhannya bernilai kira-kira RM12.9 juta.

Beliau berkata jumlah rampasan dadah itu adalah terbesar di Perak setakat ini yang dipercayai untuk diedarkan di pasaran Lembah Klang dan boleh digunakan lebih 3.7 juta penagih.

Noor Hisam berkata kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan hasil pemeriksaan mendapati kenderaan yang dirampas didaftarkan atas nama seorang wanita.

“Kejayaan ini adalah hasil risikan berterusan dan kerjasama orang awam. Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang memiliki, mengedar atau melindungi aktiviti dadah kerana ia merupakan kesalahan serius di sisi undang-undang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.