
Ketua Polis Selangor Shazeli Kahar, berkata penahanan enam lelaki dan seorang wanita berusia 30 hingga 56 tahun itu dilakukan di Subang Jaya dan Serdang, pada 1 dan 5 Okt.
Beliau berkata, hasil tangkapan pertama terhadap tiga lelaki kira-kira 5.50 petang, 1 Okt dalam sebuah kenderaan di hadapan sebuah rumah di Subang Jaya, polis merampas syabu seberat 50.30g.
“Polis kemudian memeriksa rumah teres dua tingkat itu dan menahan dua lagi lelaki serta seorang wanita, selain merampas 1.59kg syabu serta ekstasi seberat 100g,” katanya menurut Bernama pada sidang media di Shah Alam.
Berdasarkan soal siasat, polis kemudian menyerbu sebuah rumah di Subang Jaya dan merampas pil serta serbuk ekstasi 111.89 kg, heroin (20.4kg), heroin base (1.8kg) serta 17 botol berisi cecair kimia dan tiga botol berisi serbuk kimia.
Shazeli berkata, siasatan mendapati rumah teres itu dijadikan tempat penyimpanan sebelum dadah itu diedar di sekitar Lembah Klang, selain premis itu turut dalam proses dijadikan makmal pemprosesan dadah.
“Lima daripada enam individu terbabit mempunyai rekod lampau atas kesalahan dadah dan semua mereka didapati positif dadah.”
Dalam kes kedua, Shazeli berkata pihaknya membongkar taktik licik seorang mekanik berusia 39 tahun menggunakan kenderaan utiliti sukan (SUV) diubah suai di bahagian but untuk mengedar dadah selepas ditahan di tepi jalan sekitar kawasan Serdang pada 1 pagi, Ahad lalu.
Beliau berkata, pemeriksaan pada ruangan khas yang memerlukan kad akses untuk dibuka itu menemukan 63.7kg syabu dan 20.1kg pil ekstasi dianggarkan RM5.4 juta.
“Ruang berkenaan dipercayai diubah suai dengan kos melebihi RM100 dipercayai bagi memuatkan semua dadah berkenaan yang diisi dalam beberapa beg pakaian,” katanya menambah dadah dirampas dipercayai untuk pasaran sekitar Selangor dan Johor.
Lelaki terbabit yang memiliki dua rekod berkaitan dadah dan positif dadah kini direman seminggu untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.