Majlis Profesor Negara mahu kaji semula takrif kemiskinan

Majlis Profesor Negara mahu kaji semula takrif kemiskinan

Pelapor Khas PBB Philip Alston mendakwa Malaysia mempunyai 'kemiskinan yang ketara' dan kadar kemiskinan sebenar adalah kira-kira 15%.

Pengerusi dan CEO MPN Raduan Che Rose berkata, kerajaan perlu menerima hakikat proses pembandaran yang terlalu pesat turut mengakibatan fenomena kemiskinan bandar. (Gambar Bernama)
KAJANG:
Majlis Profesor Negara (MPN) mahu membuat kajian bagi melihat semula takrif kemiskinan yang diguna pakai negara selama ini bagi mengetahui sama ada ia masih relevan atau tidak.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MPN Raduan Che Rose berkata, pihaknya melihat keperluan segera untuk melakukan kajian itu bagi mendapatkan maklumat mengenai perbezaan kadar kemiskinan tegar yang direkodkan di negara ini berbanding kadar direkodkan oleh penganalisis dari luar negara.

“Kami juga akan berbincang dengan Jabatan Perangkaan untuk melihat angka yang kita kutip, bagaimana ia dilakukan sehinggakan selama ini kita mempunyai 0.4%, tapi orang luar masuk 15%.

“Kami sendiri pun akan buat tinjauan dan kerja lapangan mendapatkan bukti empirikal yang lebih nyata lagi supaya apa saja isu yang dibangkitkan, kita akan ada sandaran dari segi data empirikal dan sebagainya,” katanya selepas menghadiri mesyuarat pra-kongres profesor Nnegara di sini hari ini.

Sebelum ini, Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Berhubung Kemiskinan Tegar dan Hak Asasi Manusia, Philip Alston mendakwa Malaysia mempunyai “kemiskinan yang ketara” dan kadar kemiskinan sebenar adalah kira-kira 15%.

Bagaimanapun Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali berkata, kadar kemiskinan yang direkodkan pada 0.4% itu dikira mengikut standard yang diterima antarabangsa berdasarkan kepada edisi ke-2 “Canberra Group Handbook on Household Income Statistics (2011)” yang diterbitkan oleh PBB.

Raduan berkata, kerajaan juga perlu menerima hakikat bahawa proses pembandaran yang terlalu pesat turut mengakibatan fenomena kemiskinan bandar, yang antara lain akan turut diberi perhatian oleh MPN dalam kajiannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.