PAC syor majlis profesor gabung dengan Isis

PAC syor majlis profesor gabung dengan Isis

Mas Ermieyati Samsuddin berkata fungsi Majlis Profesor Negara perlu diselaraskan dengan badan pemikir lain.

MPN ditubuhkan pada 2010 bagi menggerakkan kepakaran tenaga akademik berpengalaman untuk membantu kerajaan dalam agenda pembangunan negara.
PETALING JAYA:
Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mencadangkan Jabatan Perdana Menteri (JPM) menggabungkan Majlis Profesor Negara (MPN) dengan badan pemikir lain seperti Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (Isis) Malaysia.

Pengerusinya Mas Ermieyati Samsuddin berkata pihaknya mengambil maklum telah ada memorandum jemaah Menteri telah disediakan untuk diputuskan Kabinet sama ada MPN kekal sebagai Syarikat Berhad Menurut Jaminan (CLBG) atau di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

“PAC juga berpandangan kerajaan boleh melihat dari sudut keperluan penggabungan/ kerjasama strategik yang boleh dilaksanakan antara MPN dan badan-badan pemikir yang lain seperti ISIS dan agensi berkaitan.

“Seterusnya menyelaras fungsi sebagai think tank (badan pemikir) kepada kerajaan merangkumi pelbagai bidang,” katanya dalam kenyataan media.

Kenyataan itu berkait pembentangan penyata tindakan susulan PAC terhadap MPN.

PAC menjalankan prosiding dan memberikan syor membabitkan MPN pada Nov tahun lalu.

Laporan Ketua Audit Negara 2/2024 mendapati dua ahli lembaga pemegang amanah tidak mengisytihar kepentingan sebagai pemilik saham kepada dua syarikat persendirian selaras dengan Akta Syarikat, dan berlaku penyalahgunaan dana MPN bagi pembiayaan operasi kepada dua syarikat tersebut berjumlah RM373,516.

Menurut laporan itu lagi, pembayaran elaun tetap pengerusi dan timbalan pengerusi MPN berjumlah RM207,000 juga dibuat tanpa kelulusan menteri yang dipertanggungjawabkan.

MPN ditubuhkan pada 2010 bagi menggerakkan kepakaran tenaga akademik berpengalaman untuk membantu kerajaan dalam agenda pembangunan negara dan diletakkan bawah Kementerian Pendidikan Tinggi.

Empat tahun kemudian organisasi itu dipindahkan ke JPM sebelum diperbadankan bawah Akta Syarikat sebagai sebuah syarikat berhad menurut jaminan.

Pada 29 Mei 2019, kerajaan Pakatan Harapan (PH) bawah pentadbiran Dr Mahathir Mohamad mengeluarkan badan pemikir itu daripada JPM.

Bagaimanapun, pada 8 Nov 2021 kerajaan mengumumkan MPN kembali diiktiraf sebagai agensi bawah JPM.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.