MPN perlu jadi suara hati negara, kata ahli akademik

MPN perlu jadi suara hati negara, kata ahli akademik

Tajuddin Rasdi berkata MPN perlu dijenamakan semula untuk menghapuskan reputasi sebagai badan untuk kepentingan sendiri.

majlis profesor negara
Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara mencadangkan Majlis Profesor Negara dipindahkan daripada Jabatan Perdana Menteri ke bawah Kementerian Pendidikan Tinggi. (Gambar MPN)
PETALING JAYA:
Seorang ahli akademik menggesa kerajaan menstrukturkan semula Majlis Profesor Negara (MPN) agar menjadi institusi terunggul bagi cendekiawan dan menghapuskan reputasinya sebagai badan yang hanya menjaga kepentingan sendiri.

Profesor seni bina Islam di Universiti UCSI, Tajuddin Rasdi berkata majlis tersebut belum memainkan peranan yang ketara dalam menjelaskan isu-isu nasional kepada rakyat.

“Orang ramai kehilangan peranan besar yang sepatutnya dimainkan MPN. Buat masa ini, saya rasa MPN hanya berkhidmat untuk dirinya sendiri, bukannya menjadi apa yang saya panggil suara hati negara,” katanya kepada FMT.

Beliau turut mencadangkan supaya keanggotaan MPN diperluaskan kepada ahli akademik yang berwibawa, termasuk mereka di institusi swasta atau yang telah bersara. Ketika ini hanya ahli akademik yang masih berkhidmat layak menjadi ahli.

MPN sebelum ini terpalit dengan kontroversi selepas Laporan Ketua Audit Negara mendedahkan beberapa ketidakaturan, termasuk salah guna dana dan kenaikan elaun pengerusi tanpa kelulusan menteri.

Pada Ogos, Presiden MPN, Raduan Che Rose, didakwa dengan tujuh tuduhan pecah amanah dana majlis itu berjumlah RM271,000. Beliau mengaku tidak bersalah. CEO sebuah syarikat berkaitan MPN juga mengaku tidak bersalah atas tuduhan bersubahat dengan Raduan.

Tajuddin Rasdi
Tajuddin Rasdi.

Tajuddin berkata, kredibiliti MPN akan meningkat dengan mengambil individu yang terkenal dengan kemampuan dan keberanian untuk menyuarakan pandangan tanpa rasa takut terhadap pihak berkuasa.

“Ahli akademik sepatutnya mempunyai pengetahuan dan pengaruh yang besar, tetapi anggota MPN tidak memiliki pengaruh seperti itu,” katanya.

Tajuddin berkata kebanyakan ahli MPN sekarang “sudah berada di puncak kerjaya, jadi mereka tidak seharusnya mencari kenaikan pangkat (melalui MPN).”

Kenyataan Tajuddin ini menyusul selepas Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara mencadangkan agar majlis itu dipindahkan daripada Jabatan Perdana Menteri ke bawah Kementerian Pendidikan Tinggi.

Tajuddin berkata MPN perlu membantu rakyat memahami isu-isu nasional yang rumit yang boleh mempengaruhi pendapat umum. “Mereka tidak perlu memihak, hanya perlu menganalisis isu secara jelas dan memberikan penjelasan dari semua perspektif,” katanya.

Katanya, podcast Keluar Sekejap yang dihoskan oleh bekas menteri kesihatan Khairy Jamaluddin menjadi popular kerana “Khairy mempunyai daya intelektual yang mendalam untuk menggambarkan isu-isu dengan cara yang populis.”

Tajuddin mendakwa podcast oleh profesor MPN kurang popular kerana jarang membincangkan isu-isu yang popular. Katanya, ahli akademik sangat lemah dalam aspek ini, menyebabkan banyak topik dibiarkan untuk dijelaskan oleh pempengaruh media sosial.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.