
Fahmi yang juga menteri komunikasi berkata namun Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum ini ada menegur pengurusan badan pemikir itu yang diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri.

“Tetapi belum ada kata muktamad ataupun setidak-tidaknya dalam beberapa mesyuarat kebelakangan ini belum dibangkitkan,” katanya pada sidang media.
PAC mengesyorkan Jabatan Perdana Menteri (JPM) mengkaji semula penubuhan MPN susulan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024 mendapati berlaku penyalahgunaan dana oleh ahli lembaga pemegang amanahnya.
Pengerusinya Mas Ermieyati Samsudin berkata jika kerajaan memutuskan untuk mengekalkan MPN sebagai Syarikat Berhad Menurut Jaminan (CLBG), MPN perlu diletakkan bawah KPT berdasarkan peranannya.
Dibentangkan Julai lalu, LKAN 2/2024 mendapati dua ahli lembaga pemegang amanah MPN tidak mengisytihar kepentingan sebagai pemilik saham kepada dua syarikat persendirian selaras dengan Akta Syarikat dan salah guna dana pembiayaan operasi kepada syarikat berjumlah RM373,516.
Menurut laporan itu lagi, pembayaran elaun tetap pengerusi dan timbalan pengerusi MPN berjumlah RM207,000 juga dibuat tanpa kelulusan menteri yang dipertanggungjawabkan.
Berhubung perkara berasingan, Fahmi berkata kerajaan belum melakukan penilaian untuk memilih ketua pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) bagi menggantikan Khairuddin Othman yang digugurkan, September lalu.
Khairuddin, bekas exco Selangor ditamatkan kontraknya berkuat kuasa 25 Sept lalu, enam bulan selepas dilantik bagi menggantikan Muhammad Agus Yusoff yang meletak jawatan pada November tahun lalu.