
“Siasatan masih dijalankan dan itu adalah prosedur siasatan. Sebaik saja terima hasil ‘post-mortem’ (bedah siasat), kita akan rujuk kes kepada timbalan pendakwa raya untuk mendapat arahan lanjut, di mana tidak pernah kita menutup siasatan ini,” katanya di selepas Majlis Penutup Pertandingan Kawad KOR Kadet Polis hari ini.
Laporan bedah siasat pada Khamis lalu mendapati kematian Nora tidak mempunyai unsur jenayah dan remaja itu disahkan mati akibat kebocoran usus yang berpunca daripada tidak makan untuk tempoh lama dan tekanan berpanjangan.
Keluarganya menuntut mayat remaja itu dari Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Jaafar Seremban pada Jumaat, selepas proses dokumentasi selesai.
Mengulas laporan media asing yang mendakwa polis terlepas pandang beberapa petunjuk penting ketika operasi mencari dan menyelamat, Zakaria bagaimanapun menafikan perkara itu.
“Setakat ini, kita tiada ‘statement’ mengenai itu. Setahu saya tiada sebarang ‘statement’ yang diberi oleh saya, Ketua Polis Daerah (Nilai Mohd Nor Marzukee Besar) dan Ketua Polis Negeri (Mohamad Mat Yusop) yang boleh bagi ‘statement’ kepada media.”
Mengenai ganjaran RM50,000 yang ditawarkan keluarga Nora kepada pemberi maklumat untuk mengesan anak mereka, beliau berkata, pihaknya tiada kaitan dengan ganjaran itu kerana ia adalah urusan keluarga terbabit.
Ditanya jika menjadi kesalahan kepada pengusaha resort tidak memasang CCTV di premis mereka, katanya, ia di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan.
Nora bersama ibu bapanya, Sebastien Marie Philipe dan Meabh Jaseprine Quoirin tiba di Malaysia untuk percutian 2 minggu dan mendaftar masuk ke sebuah resort di Pantai, Seremban, pada 3 Ogos sebelum beliau didapati hilang keesokannya.
Mayat Nora ditemui di kawasan lurah berhampiran anak sungai, 2.5km dari resort penginapan yang merupakan lokasi remaja istimewa itu dilaporkan hilang, pada hari ke-10 operasi mencari dan menyelamat besar-besaran sejak 4 Ogos lalu.
Sementara itu, Zakaria berkata, tindakan akan diambil ke atas 6 anggota polis di Negeri Sembilan yang didapati positif pelbagai dadah menerusi “Operasi Blue Devil” pada 13 Ogos lalu.
Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador hari ini dilaporkan berkata, lebih 100 anggota polis dikesan positif dadah menerusi operasi itu yang dijalankan di setiap kontinjen sejak minggu lalu.