
Ketua Polis Kota Tinggi Hussin Zamora berkata, mayat Muhammad Syahmie Zamzam, 26, ditemukan pada 3.15 petang kira-kira 100m dari lokasi dia dilaporkan hilang.
Katanya, mayat mangsa telah dikenal pasti oleh warisnya sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi.
Sementara itu, usaha mencari dan menyelamat (SAR) seorang lagi mangsa, Haqim Abdul Rahim Lee, 20, sedang diteruskan.
Hussin berkata, dua lelaki berasal dari Johor Bahru itu hilang semasa mandi-manda sekitar 9.15 pagi dan pihaknya menerima laporan daripada orang awam pada 9.35 pagi.
Katanya, pos kawalan kemudian dibuka bagi operasi SAR melibatkan pelbagai agensi termasuk polis, bomba, Pasukan Polis Marin Pengerang, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Angkatan Pertahanan Awam dan Majlis Perbandaran Pengerang.
“Pasukan penyelamat menggunakan kaedah pencarian di pesisiran pantai dan dibantu penggunaan dron,” katanya, lapor Bernama.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan penemuan mayat di laut diminta menghubungi Pusat Kawalan Daerah IPD Kota Tinggi menerusi talian 07-8837 222 atau pegawai penyiasat kes menerusi talian 012-9751 290.