Nasib exco didakwa merogol ditentukan selepas siasatan selesai

Nasib exco didakwa merogol ditentukan selepas siasatan selesai

Faizal Azumu meminta semua pihak memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan.

Ahmad Faizal Azumu. (Gambar Bernama)
IPOH:
Kedudukan seorang Exco Perak yang dikaitkan dengan tuduhan melakukan serangan seksual terhadap pembantu rumahnya, akan diputuskan selepas polis selesai menjalankan siasatan.

Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu berkata kerajaan negeri memandang serius dakwaan berkenaan dan meminta semua pihak memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan secara telus serta profesional.

“Kerajaan negeri menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hari ini, media melaporkan seorang wanita warga Indonesia, membuat laporan polis di Balai Jelapang semalam, mendakwa dirogol Exco berkenaan di rumahnya.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Choo Lily ketika dihubungi Bernama News Channel mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.