3 keluarga sambut baik AGC klasifikasi kes tembak Durian Tunggal sebagai bunuh

3 keluarga sambut baik AGC klasifikasi kes tembak Durian Tunggal sebagai bunuh

Peguam mewakili keluarga mangsa lega dan berharap siasatan lancar, cekap dan tidak memihak.

Rajesh Nagarajan (kanan) dan Sachpreetraj Singh berkata terdapat ‘bukti yang amat banyak sejak dari awal’ untuk kes disiasat kerana membunuh.
PETALING JAYA:
Keluarga tiga individu ditembak mati polis di Durian Tunggal, Melaka, mengalu-alukan keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) mengklasifikasikan semula kes itu sebagai bunuh.

Dalam kenyataan bersama, peguam mereka Rajesh Nagarajan dan Sachpreetraj Singh, berkata terdapat ‘bukti yang amat banyak sejak dari awal’ untuk kes disiasat kerana membunuh.

“Ini termasuk audio kejadian, penemuan ahli patologi yang disampaikan kepada kami, serta beberapa gambar.

“Pihak keluarga lega kerana pihak berkuasa akhirnya mengklasifikasikannya dengan betul sebagai bunuh. Itu adalah perkara betul untuk dilakukan,” kata mereka.

Dua peguam itu juga menyatakan harapan agar siasatan lancar, cekap, dan tidak memihak di bawah Seksyen 302.

“Keluarga, balu, ibu bapa, dan anak-anak mereka yang terbunuh tidak dapat mendapatkan semula mereka yang terkorban, namun sekurang-kurangnya mereka berhak mendapat keadilan di bawah undang-undang.”

Terdahulu, AGC mengarahkan siasatan terhadap kematian tiga lelaki itu diklasifikasikan semula sebagai bunuh berikutan laporan dan taklimat polis.

Ketiga-tiga lelaki itu ditembak mati polis Melaka, yang mendakwa mereka disyaki perompak bersiri yang menyerang seorang pegawai dengan parang.

Polis Melaka pada mulanya menyiasat kejadian itu atas cubaan membunuh.

Namun, peguam mewakili keluarga M Puspanathan, 21, T Poovaneswaran, 24, dan G Logeswaran, 29, berkata rakaman audio dan bukti forensik menunjukkan mereka dibunuh secara ‘execution-style’.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.