
Mahajoth Singh berkata, beliau agak terkejut dengan cara perkara itu dikendalikan apabila hadir di IPD Sepang, hari ini.
“Menjadi lumrah bagi seseorang yang diminta memberi kenyataan bertanya kenapa mereka berada di situ,” katanya kepada pemberita selepas direkod kenyataan.
Mahajoth berkata, selepas berulang kali bertanya mengapa dipanggil, beliau telah disambungkan dengan panggilan telefon dengan pegawai penyiasat, dikenal pasti sebagai ASP Mahafiz, semasa masih berada di balai polis.
“Apabila saya bertanya kepadanya tujuan saya dipanggil, beliau memberikan beberapa jawapan yang secara jujurnya tidak masuk akal, dan kemudian beliau matikan panggilan itu,” katanya.
Selepas itu, seorang lagi pegawai polis muncul merekodkan kenyataannya.
Mahajoth dipanggil berkaitan laporan polis dibuat isteri Tei berhubung dakwaan salah laku dan tindakan berlebihan yang tidak sah oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semasa serbuan di rumah mereka, pada 28 Nov.
Tindakan dipanggil polis untuk dirakam keterangan dibuat di tengah-tengah percubaan lain oleh SPRM untuk menyoal peguam Tei, suatu tindakan dikritik Badan Peguam dan kumpulan undang-undang sebagai melanggar keistimewaan profesional guaman. SPRM menegaskan tindakan itu sah mengikut Akta SPRM 2009.
Seorang lagi peguam, Rajesh Nagarajan, yang turut bercakap kepada pihak media, berkata tindakan polis memanggil Mahajoth di bawah Seksyen 111 Kanun Tatacara Jenayah sebagai tidak boleh diterima.
Beliau mendakwa, tindakan itu melanggar Seksyen 126 Akta Keterangan yang melindungi komunikasi antara peguam bela dan anak guam.
“Polis meminta anak guam saya untuk memberi kenyataan, dan pada dasarnya mereka memintanya untuk melanggar keistimewaan. Apa sudah jadi dengan polis? Bagaimana anda boleh memanggil seorang peguam untuk memberi kenyataan? Ini mesti dihentikan,” katanya.
Rajesh seterusnya berkata, tiada peguam yang akan mencabuli kerahsiaan dan mendesak pihak berkuasa segera menghentikan amalan memanggil peguam dalam hal melibatkan anak guam mereka.