
Ini susulan satu hantaran di Facebook yang mendakwa beberapa orang Islam terlibat dalam dakyah sesat ‘Interfaith Water Ceremony’ yang turut membabitkan upacara berdoa bersama pemimpin agama lain.
Ketua Pengarah Jakim Sirajuddin Suhaimee juga mengesahkan individu terlibat bukan pegawai jabatan itu dan pihaknya juga bertemu pemilik Facebook yang membuat hantaran tersebut bagi memastikan penelitian secara adil dan menyeluruh.
“Jakim sentiasa komited memelihara kesucian akidah umat Islam… mana-mana pihak yang mempunyai maklumat, dimohon membuat laporan rasmi kepada pihak polis serta pihak berkuasa agama Islam negeri,” katanya dalam kenyataan, lapor Bernama.
Sebelum ini, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) menjelaskan bahawa kandungan yang dipetik dalam hantaran Facebook itu merujuk kepada satu program yang berlangsung tujuh tahun lepas di sebuah hotel di Seberang Jaya.
JHEAIPP memaklumkan program itu pernah dilaporkan secara rasmi dan disiarkan menerusi media tempatan pada tahun sama, dengan liputan berita yang memfokus kepada sambutan serta pengiktirafan terhadap pasangan yang berkahwin daripada pelbagai bangsa.