Tok Mat pertahan ulama PAS keluar ‘fatwa’ wajib ahli jatuhkan PH

Tok Mat pertahan ulama PAS keluar ‘fatwa’ wajib ahli jatuhkan PH

Presiden Amanah, Mohamad Sabu membidas ‘fatwa’ PAS sebagai satu perkembangan tidak sihat kerana menggunakan agama untuk kepentingan politik.

Pada sesi penggulungan Muktamar PAS ke-65 di Kuantan baru-baru ini Ketua Dewan Ulama parti itu Nik Zawawi Salleh berkata, adalah wajib untuk menjatuhkan kerajaan PH.
SEPANG:
Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan mempertahankan fatwa dikeluarkan PAS yang mewajibkan ahli parti Islam itu untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Mohamad atau lebih dikenali dengan panggilan Tok Mat berkata, fatwa dikeluarkan Ketua Dewan Ulama PAS Nik Zawawi Salleh itu bukanlah satu kesalahan, memandangkan ahli PAS memerlukan petunjuk daripada pimpinan parti mereka sendiri.

“PAS keluarkan fatwa begitu kepada ahlinya, sebab ahli PAS memerlukan petunjuk daripada pemimpinnya. Mereka walak (setia) kepda pemimpin. Fatwa ini jangan salah faham, ia adalah petunjuk bukannya hukum,” katanya sewaktu ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Sepang di sini, hari ini.

Nik Zawawi pada sesi penggulungan Muktamar PAS ke-65 baru-baru ini berpendirian bahawa menjatuhkan kerajaan PH adalah wajib, selain menegaskan tiada khilaf (pertikaian) mengenai hal itu.

Presiden Amanah, Mohamad Sabu semalam membidas ‘fatwa’ tersebut yang disifatkannya sebagai satu perkembangan tidak sihat kerana menggunakan agama untuk kepentingan politik.

Tok Mat bagaimanapun berkata, fatwa dikeluarkan Nik Zawawi itu tidak sepenuhnya terpakai kepada ahli Umno, kerana Umno dan PAS merupakan entiti berbeza walaupun ketika ini mereka rapat dan menjalin bekerjasama politik.

“Bukan kata tidak terpakai kepada Umno, kita cuma bekerjasama, tidak bergabung. Sebab itu dalam piagam kita, Umno tetap Umno dan PAS tetap akan jadi PAS. Tidak semestinya apa yang PAS buat kita kena ikut,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.