
Dalam satu kenyataan kepada FMT, syarikat juga menolak dakwaan ia membuat tuntutan 2 kali ganda lebih tinggi kos asal daripada kerajaan.
Warisan Pinang Sdn Bhd berkata, mereka memenangi bidaan urus niaga tukar tanah melalui tender terbuka selepas mematuhi semua syarat yang ditetapkan oleh kerajaan.
“Kami memenuhi terma dan syarat perjanjian antara syarikat dengan kerajaan,” katanya.
Syarikat berkenaan memberi respons terhadap kenyataan seorang pemimpin PKR yang mempersoalkan urus niaga itu dan menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memulakan siasatan.
Ia juga berkata, angka RM40 juta yang disebut sebagai kos pembinaan kompleks bersepadu tentera (IAC) itu adalah “sama sekali tidak tepat dan palsu”.
“Hakikatnya, Warisan Pinang mengalami kerugian lebih RM82 juta bagi menyiapkan keseluruhan IAC,” katanya kepada FMT.
Ia berkata Warisan Pinang melantik beberapa subkontraktor untuk melakukan kerja-kerja pembinaan.
Ia juga mempersoalkan dakwaan Ketua Komunikasi Wanita PKR, Carolyn Khor bahawa kos projek Bukit Gedung hanyalah RM16 juta, tetapi laporan kepada Kementerian Pertahanan menyebut ia dibina pada kos RM40 juta.
“Angka RM16 juta yang didakwa sebagai kos berek tentera di Bukit Gedung itu mewakili hanya salah satu daripada beberapa kontrak yang diberikan bagi pembinaan IAC Bukit Gedung dan Sungai Ara,” kata Warisan Pinang.
Katanya, fasa pertama dan sebahagian daripada fasa ke-2 projek IAC disiapkan pada Julai 2005, iaitu di dalam tempoh yang diluluskan oleh Kementerian Pertahanan.
“Baki fasa ke-2 disiapkan pada Mac 2015, juga di dalam tempoh yang diluluskan Mindef.
“IAC siap sepenuhnya menurut spesifikasi Mindef dan sudah digunakan selama beberapa tahun ini,” katanya.