
Pengerusi PAC, Wong Kah Woh berkata, Onn Hafiz adalah saksi keempat dan prosiding selama dua jam itu diadakan di Pejabat Daerah Kluang, Johor mulai 4 petang.
Katanya, Onn Hafiz dikaitkan dengan projek pembinaan Kem Paloh di Kluang pada 2016 menerusi kaedah pertukaran tanah susulan pendedahan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK).
“Onn Hafiz hadir atas kapasiti sebagai bekas setiausaha politik kepada menteri pertahanan dari 2013 hingga 2018, dan siasatan PAC menjurus kepada peranan beliau dalam cadangan pembinaan Kem Paloh, Kluang mulai 2016,” katanya dalam kenyataan.
Ketua Setiausaha Kementah, Muez Abdul Aziz dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementah, Shahrazat Ahmad turut hadir memberi penjelasan serta keterangan di hadapan PAC semalam.
Muez dipanggil PAC pada 30 Nov 2020 berhubung prosiding isu sama. Ia juga pernah memanggil Pengerusi JKSTUPKK, Ambrin Buang dan Menteri Pertahanan ketika itu, Hishammuddin Hussein dalam prosiding terbabit.
Sebelum prosiding semalam bermula, PAC melawat Kem Paloh seluas kira-kira 65 ekar pada sebelah pagi untuk meninjau perkembangan pembinaan kem itu bagi menempatkan Markas 33 Rejimen Artileri Diraja dan 8 Skuadron Rejimen Askar Jurutera Diraja.
Wong berkata, projek pertukaran tanah itu membabitkan sebuah kem tentera seluas 38ha di Kinrara, Selangor, pembinaan fasiliti tentera udara di Sendayan dan kem tentera darat di Port Dickson, Negeri Sembilan.
Tetapi, pada 2016, cadangan pembinaan kem tentera darat di Port Dickson ditukar dengan cadangan pembinaan kem Paloh.
Pada 9 Mei 2019, Menteri Pertahanan ketika itu, Mohamad Sabu mengumumkan 13 daripada 16 projek “land swap” Kementah membabitkan bekas perdana menteri dan bekas menteri pertahanan sejak 1997.
Katanya, hasil siasatan JKSTUPKK ke atas 16 projek itu mendapati kerajaan kerugian lebih RM500 juta akibat penilaian tanah lebih rendah daripada nilai pasaran dan pengurusan kontrak yang lemah.
Keseluruhan 16 projek itu membabitkan 1,183ha tanah milik Kementah bernilai RM4.7 bilion dan kos projek sebanyak RM4.8 bilion. Tetapi, hanya lima projek itu disiapkan sehingga Disember 2018.