
Katanya, siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas beliau bukan sahaja melibatkan isu tukar tanah, tetapi juga beberapa isu lain.
Beliau bagaimanapun tidak menamakan mana-mana isu tersebut kepada pemberita, di lobi Parlimen hari ini.
“Saya tiada apa-apa untuk berselindung. Saya buat ini (memberi kerjasama kepada SPRM) tanpa rasa takut dan gentar.
“Projek ‘land swap’ hanya satu isu. Banyak lagi isu yang sebenarnya bagus untuk saya.
“Ia bersihkan nama saya, harapnya, buat selama-lamanya,” katanya kepada pemberita selepas ditanya sejauh mana keyakinan beliau terhadap siasatan tersebut.
Hujung minggu lepas, SPRM menyoal siasat Hishammuddin selama 7 jam berhubung isu tukar tanah milik Kementerian Pertahanan.
Ahli Parlimen Sembrong itu dilaporkan berkata, beliau bersedia didakwa di mahkamah jika terbukti terbabit dalam sebarang salah laku.
Hishammuddin merupakan bekas menteri Barisan Nasional (BN) ke-2 yang dipanggil bagi membantu siasatan isu tukar tanah kementerian berkenaan selepas bekas timbalan perdana menteri, Ahmad Zahid Hamidi dipanggil agensi anti-rasuah itu 2 minggu lalu.
Mengulas lanjut, Hishammuddin yakin SPRM akan menyiasat dakwaan berkaitan secara profesional, selain memberi jaminan akan terus memberi kerjasama penuh kepada agensi terbabit.
“Biarkan SPRM siasat,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau yang juga bekas naib presiden Umno berkata, Zahid berhak untuk kembali bertugas sebagai presiden parti itu yang sah.
“Itu hak dia.
“Janganlah perkembangan terkini membuka peluang lain untuk bertelagah sesama kita,” katanya.
Katanya, sebagai bekas anggota Majlis Tertinggi Umno, beliau berharap kepulangan Zahid tidak akan menjejaskan keutuhan parti itu yang dibina sejak sekian lama.
Semalam, semasa berucap pada satu majlis Hari Raya di Perak, Zahid mengumumkan untuk kembali memimpin Umno selepas bercuti selama 6 bulan.
Katanya, beliau membuat keputusan itu kerana tidak sanggup melihat rakyat terus dibohongi dan dihina oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).