Saya ‘anak Malaysia’ tapi saya terpaksa tinggalkan negara ini

Saya ‘anak Malaysia’ tapi saya terpaksa tinggalkan negara ini

Anak pelarian Rohingya Rasyidah Yusuf yang lahir di Melaka dan membesar di KL terpaksa berhijrah ke AS kerana Malaysia tidak mengiktirafnya sebagai rakyat.

Rasyidah Yusuf bersama suami, Muhamamd Jamal Yusof dan anak mereka ketika ditemui di kediamannya di Sentul, KL.
PETALING JAYA:
Seorang anak pelarian Rohingya meluahkan kekecewaannya apabila terpaksa meninggalkan Malaysia untuk mendapatkan status kerakyatan Amerika Syarikat (AS) walaupun sangat mencintai negara ini.

“Kehidupan saya di sini tidak terjamin. Saya sangat cintakan Malaysia. Saya memahami budaya dan adat resam negara ini dan ia sebati dalam diri saya. Tapi saya pilih untuk pergi demi masa depan keluarga saya,” luah Rasyidah Yusuf, 2 minggu sebelum dia dan keluarga berangkat ke AS.

Rasyidah, 26, yang dilahirkan di Melaka dan membesar di Kuala Lumpur lebih mesra dengan panggilan Syida mengakui dirinya “anak Malaysia”.

Katanya, budaya, peraturan, bahasa dan adam resam negara ini tidak asing baginya dan keluarga.

“Sudah 3 generasi saya di sini. Sejak moyang saya berhijrah ke Malaysia, kami sudah anggap kami seperti orang di sini.

“Tetapi, saya sedar diri dan asal usul saya. Saya tahu tempat saya di mana dalam masyarakat negara ini.

“Saya sayangkan Malaysia, orang di sini semuanya baik-baik dan mereka tidak pernah tahu saya sebagai pelarian sehingga saya memberitahu mereka. Pun begitu, mereka tetap berkawan baik dengan saya,” katanya pakar penterjemah bahasa itu kepada FMT.

FMT bertemu Syida kali pertama pada satu sidang media Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) Malaysia di Kuala Lumpur, April lalu.

Ketika itu, Syida berkata dia akan berhijrah ke Texas, AS selepas negara itu menganugerahkan kerakyatan kepada dia, suami, anak lelaki dan ibu mertuanya.

Saya selamat tapi tiada jaminan

Syida berkata, sejak kecil dia tidak mempunyai keazaman hidup yang tinggi kerana menyedari statusnya dan keluarga yang tidak diiktiraf di bumi Malaysia.

Tambahnya, dia lebih selesa berdiam diri dan tidak bercakap banyak melainkan berkomunikasi dengan ahli keluarga sahaja. Namun, semuanya berubah apabila dia mendapat tawaran untuk bersekolah di Dignity For Children Foundation (Dignity) di Sentul.

Dignity merupakan satu yayasan yang dibina lebih 15 tahun lalu yang bermatlamat memperkasakan kanak-kanak terdiri daripada gologan miskin, tanpa kerakyatan dan memecahkan kitaran kemiskinan menerusi pendidikan berkualiti.

Sehingga hari ini, yayasan itu yang merupakan pusat pembelajaran memberi manfaat kepada lebih 1,000 kanak-kanak berusia antara 2 dan 17 tahun dengan menyediakan pendidikan berkualiti dalam persekitaran yang selamat.

Syida berkata, di sana dia menemui sinar baru apabila terdapat seorang guru warga AS di sekolah tersebut selalu memberinya galakan untuk bercakap, terlibat dalam sesi pembelajaran dan aktif mengeluarkan pendapat ketika berada di dalam kelas.

Anaknya, Muhammad Adam Syah adalah insan yang paling teruja untuk berhijrah ke Amerika Syarikat.

Malah, rakan-rakannya juga banyak membantunya membina keyakinan diri di dalam kelas.

“Disebabkan saya tidak mempunyai hak dan peluang untuk mendapatkan pendidikan formal di sekolah kebangsaan, saya masuk ke sekolah itu pada umur 13 tahun dan masih berpeluang untuk belajar asas-asas pendidikan di Dignity.

“Saya sangat gemarkan mata pelajaran bahasa Inggeris kerana mempelajari bahasa itu sangat menyeronokkan,” katanya sambil menambah beliau fasih 4 bahasa iaitu Bahasa Burma, Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu dan Tamil.

Demi masa depan anak

Mengenang kembali ketika dia belajar di Dignity, Syida berkata dia bertemu suaminya, Muhamamd Jamal Yusof ketika mereka aktif dalam sukan di sekolah tersebut.

“Pada mulanya saya dan suami selalu bergaduh kerana masing-masing nak tunjuk siapa lagi hebat dalam sukan.

“Tapi akhirnya kami jatuh cinta dan disatukan. Pada masa itu, saya berumur 21 tahun manakala suami 22 tahun,” katanya.

Setahun selepas berkahwin, Syida dan suami dikurniakan seorang anak lelaki bernama Muhammad Adam Syah yang kini berusia 4 tahun. Anak kecil itu juga mendapat pendidikan awal di Dignity sebelum mereka meninggalkan negara ini.

Syida berkata, masa depan anaknya sangat penting. Dia dan suami sentiasa sedia berkorban jiwa dan raga untuk anak mereka.

“Saya dan suami tiada jaminan masa depan di negara ini. Kami tak dapat peluang untuk mempunyai cita-cita. Saya dan suami bergelut untuk bertahan hidup di sini.

Gambar kenangan keluarga Rasyidah Yusuf di lapangan terbang sebelum berlepas ke AS.

“Saya akan pastikan Adam akan mendapat hak untuk menjalani kehidupan yang normal seperti rakan-rakan sebayanya yang lain,” katanya.

Syida dan suami antara ratusan ribu golongan tanpa kerakyatan di Malaysia selepas kerajaan menegaskan kelahiran di negara ini tidak membolehkan seseorang individu memperoleh kewarganegaraan secara automatik.

“Saya tidak mahu apa yang berlaku ke atas diri saya dan suami, berulang kepada anak lelaki kami,” katanya.

Ketika ditanya, adakah Adam mengetahui tentang penghijrahan mereka ke Texas, Syida mengangguk.

“Dialah yang paling teruja sekali. Setiap hari dia bertanya, bila tarikh penerbangan kami ke Amerika Syarikat,” katanya.

Keluarga akan bersatu

Syida berkata, keberangkatan mereka ke AS menyatukan kembali pertalian keluarga di sebelah suaminya kerana adik iparnya terlebih dahulu meninggalkan Malaysia ke negara itu.

“Adik ipar saya pergi ke Texas tahun lepas. Hampir setahun. Keluarga di sebelah suami saya tidak pernah duduk berjauhan. Sejak adik ipar saya pergi, ibu mentua saya jadi semakin diam kerana rindukan anaknya,” katanya sambil menambah ibu bapanya sudah berpisah sejak dia di bangku sekolah.

Ibu mentua yang mempunyai masalah kesihatan melibatkan komplikasi paru-paru akan mendapat pembiayaan perubatan di AS.

Lawatan FMT ke rumah Syida mendapati ibu mentuanya yang menginjak 70 tahun tidak sihat dan mempunyai masalah kesihatan melibatkan komplikasi paru-paru.

Dia memerlukan mesin yang membantunya untuk bernafas. Alatan itu dipasang ke mulut dan hidung ibu mertuanya selama 16 jam.

“Sebab itu urusan penerbangan kami menjadi terbantut, kerana keadaan ibu mertua saya tidak berapa baik. Kami perlu pastikan beliau berada dalam keadaan yang terbaik sepanjang penerbangan.

“Beberapa pemeriksaan perlu dibuat dan pengesahan oleh doktor pakar. Selepas itu, kami akan mendapat ‘lampu hijau’ untuk berlepas,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.