Siasat kematian Rohingya sekiranya pihak berkuasa bertanggungjawab, kata aktivis

Siasat kematian Rohingya sekiranya pihak berkuasa bertanggungjawab, kata aktivis

Inkues perlu dilakukan terhadap kematian seorang tahanan dipercayai akibat Covid-19 bagi mengenal pasti sama ada berlaku pengabaian, kata Charles Hector.

Lebih 500 tahanan Rohingya melarikan diri dari depot imigresen, minggu lalu dengan sebahagian besar mereka kembali ditahan. 
PETALING JAYA:
Laporan koroner berhubung kematian lapan pelarian Rohingya perlu dikeluarkan, selain melakukan inkues demi mengenal pasti sama ada pihak berkuasa bertanggungjawab secara jenayah, kata pertubuhan hak asasi manusia, hari ini.

Charles Hector dari Malaysians Against Death Penalty and Torture, berkata satu daripada kematian itu didakwa berlaku disebabkan Covid-19.

Inkues mesti dilaksanakan bagi memastikan sama ada berlakunya sebarang pengabaian oleh pihak berkuasa dalam memantau dan mengekang penularan wabak itu dalam kalangan tahanan, di depot tahanan imigresen.

“Apabila tahanan berada dalam kemudahan tahanan kerajaan maut akibat Covid-19, kerajaan, menteri dalam negeri, ketua pengarah imigresen dan pihak berkuasa berkaitan di kemudahan tahanan imigresen mungkin bertanggungjawab secara jenayah akibat kematian itu,” katanya.

“Adakah dibuat pengesanan suhu secara kerap, pengesanana dan pemeriksaan kesihatan dilakukan di depot imigresen? Kematian tahanan yang meninggal dunia di pusat tahanan, bukan di hospital untuk menerima rawatan perubatan menimbulkan tanda tanya,” katanya dalam kenyataan.

Minggu lalu, lebih 500 tahanan Rohingya lolos selepas melarikan diri dari depot tahanan, di Bandar Baharu, Kedah. Enam daripada maut selepas dilanggar kereta ketika cuba melintas, dalam kejadian di Lebuh Raya Utara Selatan.

Seorang lagi tahanan dilaporkan meninggal dunia, pada Rabu, kesan kecederaan dalam insiden kemalangan sama.

Semalam, Ketua Polis Kedah Wan Hassan Wan Ahmad, mengesahkan seorang tahanan meninggal dunia di depot imigresen, minggu lalu. Beliau berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut kerana Covid-19.

Hector berkata, sekiranya pihak berkuasa gagal dalam memastikan tahanan tidak dijangkiti virus, termasuk tidak mengenal pasti punca jangkitan atau menyediakan penjagaan kesihatan segera, ia mencadangkan mereka bertanggungjawab secara jenayah dalam kematian itu.

“Koroner tidak boleh secara mudah dan membuta tuli menerima klasifikasi polis berhubung kematian sebagai mati mengejut dan perlu dilakukan inkues terhadap kematian dalam tahanan yang didakwa berpunca daripada Covid-19, termasuk kematian tujuh lagi susulan kemalangan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.