Tempat terhad, hanya pelarian Rohingya layak boleh ke IPT, kata menteri

Tempat terhad, hanya pelarian Rohingya layak boleh ke IPT, kata menteri

Khaled Nordin berkata persepsi masyarakat perlu diperbetulkan terhadap isu peluang pelarian Rohingya menyambung pengajian di IPT tempatan.

Khaled Nordin berkata rakyat perlu mempunyai sifat insan terhadap pelarian Rohingya yang juga Islam dan mereka boleh membentuk serta mendidik masyarakat sendiri supaya tidak menimbulkan masalah selepas menamatkan pengajian. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Rakyat tidak perlu bimbang dengan pelarian Rohingya melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan kerana bukan semua boleh berbuat demikian, kata Menteri Pengajian Tinggi, Khaled Nordin.

Beliau berkata, tempatnya terhad dan hanya pelarian Rohingya berkelayakan boleh memasuki IPT awam atau swasta.

“Malaysia sebuah negara yang ramai pelajar antarabangsa datang untuk belajar, jadi ada antaranya Rohingya. Sekiranya dia (Rohingya) berkelayakan, boleh bayar, mereka boleh memohon melanjutkan pelajaran ke IPT dalam bidang tertentu dengan tempat terhad. IPTS memang terbuka.

“IPT ini bukan ambil semua (Rohingya) masuk semua universiti, tidak. Situasi ini bukan berniaga di tepi jalan, hendak masuk ke universiti kena ada kelayakan merit, bukan semua orang boleh,” katanya menurut Harian Metro selepas melawat Politeknik Ibrahim Sultan di Pasir Gudang, Johor.

Beliau mengulas kebimbangan rakyat dengan keputusan membenarkan pelarian Rohingya menyambung pengajian di IPT tempatan.

Selasa lalu, Penasihat KPT, Prof Morshidi Sirat dilaporkan berkata, pelarian Rohingya yang ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi boleh berbuat demikian di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia tidak lama lagi.

Peluang melanjutkan pengajian itu akan dibiayai sumbangan Dana Qatar Untuk Pembangunan yang diterima sebelum 2020 berjumlah USD50 juta (RM231 juta).

Khaled berkata, persepsi masyarakat perlu diperbetulkan terhadap isu peluang pelarian Rohingya menyambung pengajian di IPT tempatan.

“Tiada apa yang hendak ditakutkan, alangkah indahnya kita ini menjadikan dia (Rohingya) manusia, takkan kita tiada sifat insan, kita ini hendak jadikan dia berjaya. Dia Islam, dia kalau balik negara dia akan dibunuh.

“Jadi, kalau kita dapat lahirkan dia (Rohingya) berjaya, dia boleh betulkan masyarakat dia. Kalau kita tidak mulakan, dia akan membiak dan menimbulkan masalah kepada kita. Tidak ramai pun, bukan kita ambil semua masuk universiti. Jika begitu, prestasi saya pun terjejas.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.