Myanmar setuju terima pelarian Rohingya dihantar pulang tahun ini

Myanmar setuju terima pelarian Rohingya dihantar pulang tahun ini

Bangladesh mahu penghantaran balik itu dimulakan pada suku pertama tahun ini, tetapi Myanmar meminta diberikan lebih banyak masa untuk persiapan logistik dan beberapa perancangan lain.

Pelarian Rohingya menaiki kapal tentera laut untuk dipindahkan ke sebuah pulau terpencil di Teluk Bengal di Chittagong, Bangladesh pada 29 Dis 2020. (Gambar AP)
DHAKA:
Myanmar bersetuju dengan permintaan Bangladesh untuk memulakan penghantaran balik pelarian Rohingya pada suku kedua tahun ini, lapor Agensi Anadolu memetik pegawai pada Selasa.

Perkara itu dimaklumkan dalam rundingan tiga pihak yang menyaksikan China sebagai perantara.

“Kami mahu ia dimulakan pada suku pertama tahun ini, tetapi Myanmar minta diberikan lebih banyak masa untuk mengatur logistik dan beberapa perancangan lain. Jadi, kami mahu ia dimulakan pada suku kedua dan mereka bersetuju,” kata Setiausaha Luar Bangladesh, Masud Bin Momen selepas rundingan itu.

China akan memberikan vaksinasi Covid-19 percuma kepada pelarian Rohingya pada fasa pertama program penghantaran pulang itu.

Sebelum ini, Menteri Luar Bangladesh, AK Abdul Momen berkata, “penghantaran balik satu-satunya jalan keluar untuk mengakhiri krisis Rohingya dan tiada alternatif lain”.

Sementara itu, Kementerian Luar dalam kenyataan yang dikeluarkan kemudian berkata, “Myanmar telah membuat semua perancangan diperlukan dan menegaskan kesediaan Myanmar untuk menerima semula pelarian Rohingya”.

Bagaimanapun, kenyataan itu tidak memperincikan tarikh tertentu untuk penghantaran pulang bermula.

“Projek perintis sedang dijalankan untuk penghantaran pulang itu. Myanmar bersedia memulakan proses mengenal pasti pelarian yang akan terlibat dalam projek perintis itu,” menurut kenyataan itu.

Pelarian Rohingya itu perlu mengisi dan menandatangani borang yang mereka dengan rela hati mahu dihantar balik serta akan mematuhi undang-undang Myanmar sedia ada.

Selain itu, Myanmar mahu Bangladesh memastikan tiada ancaman pengganas ketika program dilaksanakan.

Sebelum ini, dua usaha penghantaran pulang cuba dilakukan di bawah perjanjian dua hala antara Bangladesh dan Myanmar yang ditandatangani pada 2017, tetapi gagal mencapai sebarang hasil, walaupun Myanmar berulang kali memberi jaminan bersedia menerima semula pelarian Rohingya yang dihantar balik.

Menurut Amnesty International, lebih 750,000 pelarian Rohingya, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, melarikan diri dari Myanmar ke Bangladesh susulan kekejaman tentera Myanmar terhadap komuniti minoriti Islam pada Ogos 2017.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.