
Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) berkata insiden mengorbankan kanak-kanak dan wanita itu mencerminkan tahap risiko yang semakin meningkat di laluan penyeludupan migran di perairan Kedah dan Perlis.
Menurutnya, walaupun rondaan berkala dijalankan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Polis Marin, kekurangan aset, liputan radar yang terhad serta jumlah anggota kecil telah mewujudkan jurang keselamatan yang terus dieksploitasi sindiket penyeludupan manusia.
“Perjalanan dari Kuah ke kawasan seperti Teluk Ewa dan Teluk Datai mengambil masa hampir dua jam menggunakan bot lama yang kita ada.
“Kita juga tiada dron di Langkawi. Saya minta menteri fikirkan perkara ini. Anggota-anggota kita perlu dilengkapi dengan peralatan terkini yang sesuai digunakan di lapangan,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) KDN di Dewan Rakyat.
Pada 9 Nov lalu, sebuah bot membawa kira-kira 70 pelarian Rohingya dipercayai dalam usaha memasuki negara ini telah karam di perairan Pulau Langkawi.
Tragedi itu mengorbankan 29 individu, manakala 14 orang berjaya diselamatkan. Kira-kira 10 lagi mayat ditemukan di perairan Thailand oleh pihak berkuasa negara jiran.
Mengulas lanjut, Suhaimi berkata tragedi itu juga mencerminkan kesan berlarutan krisis kemanusiaan Rohingya yang masih belum menemui penyelesaian sejak 2017.
“Saya mohon kepada Yang Berhormat Menteri supaya menyampaikan kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim yang juga pengerusi ASEAN supaya isu punca krisis ini ditangani secara serius di peringkat serantau.
“Berilah keamanan kepada mereka di Rohingya,” katanya.