
Pengarah MyAngkasa Az Zahra Sdn Bhd, Mohamad Shaharul Mohamad Shariff berkata nama dan lambang Angkasa disalahgunakan oleh sindiket itu dan ramai penjawat awam ditipu sindiket berkenaan.
“Kami menafikan laporan portal itu yang menyatakan Angkasa terlibat dalam sindiket penipuan pinjaman kerana Angkasa dan MyAngkasa Az Zahra baru-baru ini membangunkan satu portal dinamakan Portal My AzZahra dan ia dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan Mohd Redzuan Yusof pada 25 Jan lepas.
“Hanya koperasi yang disahkan dengan portal ini yang layak untuk memberi pinjaman dan Angkasa hanya memainkan peranan meluluskan pemotongan gaji pemohon,” katanya kepada Bernama semalam.
Kakitangan awam dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang mendaftar bawah Skim Potongan Gaji Angkasa (SPGA) dan ingin membuat pinjaman dengan koperasi perlu berbuat demikian dengan mana-mana 15 koperasi yang berdaftar dengan portal itu kerana operasinya terjamin, selain mempunyai fungsi “Audit Trail”.
Shaharul merujuk kepada satu laporan mengenai sindiket penipuan pinjaman menggunakan nama Angkasa untuk memalsukan penyata gaji peminjam dan menyerahkan hanya 50% daripada keseluruhan jumlah pinjaman.
Beliau berkata Portal My AzZahra mematuhi Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) 2010 dan semua data peribadi pemohon akan dilindungi bawah akta itu.
Portal itu juga menghimpunkan produk pembiayaan koperasi patuh syariah.
“Kewujudan portal ini untuk meminimumkan penglibatan ejen atau orang tengah dengan menghubungkan pemohon terus kepada koperasi yang ada dalam portal ini serta mengelak kemungkinan penipuan oleh syarikat kredit atau along,” katanya.
Beliau turut menegaskan penglibatan koperasi dalam portal itu telah melalui proses penilaian yang ketat oleh Angkasa dan MyAngkasa Az Zahra. Hanya koperasi yang berkelayakan dengan rekod bersih selain menawarkan hanya produk yang diluluskan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) yang dibenarkan menawarkan pinjaman.