
Menteri Ewon Benedick berkata, pihaknya dalam proses sesi libat urus membabitkan pelbagai pihak untuk memastikan keberkesanannya dalam kawal selia koperasi.
Katanya, sehingga kini Kuskop dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) melaksanakan 10 sesi libat urus dengan penyertaan sebanyak 295 koperasi dan 47 agensi kerajaan bagi mendapatkan pandangan.
Menurutnya, soal selidik juga sudah diedar dan sebanyak 1,058 koperasi menjawabnya.
“Matlamat utama penggubalan Akta Koperasi yang baharu ini adalah untuk memperkasa gerakan koperasi dengan meliberalisasi perundangan dan memperkasa SKM sebagai badan pengawalseliaan kepada koperasi.
“Dengan penggubalan Akta Koperasi yang baharu ini, Kuskop optimis akan mewujudkan koperasi yang responsif dan dinamik, memudahkan perniagaan koperasi serta dapat meningkatkan kesejahteraan rakyat di samping meningkatkan tatakelola koperasi,” katanya.
Beliau berucap ketika mempengerusikan mesyuarat Majlis Perundingan Koperasi Kebangsaan (MPKK) 2025 di Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Mesyuarat turut dihadiri pengurusan tertinggi Kuskop, ketua agensi Kuskop dan anggota majlis terdiri 36 orang antaranya diwakili oleh exco kerajaan negeri yang memegang portfolio koperasi, serta wakil gerakan koperasi.