
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) Hishamuddin Hashim yang mewakili ahli koperasi itu berkata, kegiatan itu telah berlarutan sejak 2021.
Katanya, kebanyakan ahli membayar puluhan ribu ringgit setiap seorang, termasuk menggunakan wang persaraan dan simpanan bagi mendaftar jadi ahli koperasi, dengan pembayaran dibahagikan kepada yuran keahlian, modal syer dan sebahagian simpanan khas.
“Mereka dipercayai tertarik untuk mendaftar apabila ditawarkan pembayaran dividen yang tinggi hingga 18% setahun. Pada masa sama koperasi turut menawarkan kepada ahli untuk menyertai skim tempahan emas yang dijalankan oleh sebuah anak syarikat berkaitan koperasi berkenaan.
“Ahli-ahli juga telah menyertai skim tempahan emas dan mendakwa dijanjikan keuntungan 1-3% daripada jumlah yang dibayar untuk jangka masa sebulan dan tempahan akan diperbaharu bagi setiap bulan,” katanya pada sidang media.
Bagaimanapun, Hishamuddin berkata, apabila tiba tempoh pembayaran keuntungan, pihak syarikat gagal berbuat demikian, memberikan pelbagai alasan tidak munasabah.
Katanya, ahli koperasi yang kecewa dengan keadaan itu membuat laporan polis tetapi diklasifikasikan sebagai Rujuk Lain Agensi iaitu Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
“Kita nak minta kepada pihak polis pertimbangkan supaya buka kertas siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan berkolaborasi bersama SKM menyiasat kes ini agar tindakan sewajarnya dapat dikenakan terhadap pihak berkaitan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Kuantan Wan Mohd Zahari Wan Busu ketika dihubungi berkata, pihaknya akan menyemak semua laporan yang diterima sebelum mengambil tindakan lanjut.