
Operasi kuari terbabit dijalankan di Batu 7 berdekatan kawasan perumahan seperti Taman Mei Lee, Taman Wai Leong, Taman Sentosa dan Sentosa Height.
Pengerusi DAP negeri, Chong Chieng Jen berkata, penduduk bimbang operasi tersebut memberi kesan ke atas tanah kawasan berkenaan dan menjadi punca kejadian tidak diingini.
Chong, yang juga merupakan ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Sentosa berkata, ahli Parlimen Bandar Kuching Kelvin Yii pernah membangkitkan isu itu di Dewan Rakyat pada April lepas.
Walaupun didapati operasi kuari berkenaan terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, Putrajaya boleh menulis surat kepada Jabatan Tanah dan Survei Sarawak serta Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Sumber Asli negeri bagi mendapatkan kajian tanah yang terperinci, katanya pada satu satu sidang media di sini, hari ini.
Chong berkata, tidak wajar dihujahkan bahawa operasi kuari berkenaan sudah pun berjalan di situ sewaktu kawasan perumahan terbabit dibangunkan.
“Beberapa ladang ternakan ayam itik wujud berdekatan bandar raya ini sebelum ini, tetapi apabila pembangunan dirancang, ia diarah pindah,” katanya.
Kelvin dilaporkan berkata, penduduk menyuarakan kebimbangan berhubung keselamatan mereka, terutama dalam kalangan kanak-kanak dan warga tua kerana kedudukan kuari itu hanyalah 250 meter dari Taman Mei Lee.
Katanya, pada Disember 2008, sebiji batu besar jatuh ke kawasan tersebut menyebabkan 2 rumah rosak, selain penduduk kerap mengalami gegaran susulan aktiviti meletupkan batu di kuari berkenaan.
“Berdasarkan spesifikasi kementerian, zon penampan antara sebuah kuari dengan kawasan perumahan hendaklah lebih 600 meter,” katanya lagi.