Beban kerja berat tak wajarkan tambah menteri, kerajaan Sarawak diberitahu

Beban kerja berat tak wajarkan tambah menteri, kerajaan Sarawak diberitahu

Wong King Yii daripada Pemuda DAP Sarawak berkata, pertindihan perlu dihapuskan dan tanggungjawab setiap kementerian diperjelas.

Bendahari Pemuda DAP Sarawak Wong King Yii gesa kerajaan negeri terbit audit fungsian terperinci kementerian untuk wajarkan setiap pelantikan baharu guna data kukuh. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Beban kerja yang berat tidak mewajarkan langkah melantik lebih ramai menteri negeri, menurut pemimpin Pemuda DAP Sarawak.

Sebaliknya, organisasi yang lebih baik akan membantu menyelesaikan isu sedemikian.

Mengkritik rancangan menambah empat lagi menteri negeri, Bendahari Pemuda DAP Sarawak Wong King Yii berkata, kerajaan negeri perlu menyusun semula kementerian untuk menghapuskan pertindihan dan memastikan setiap kementerian mempunyai tanggungjawab yang jelas dan berfokus.

Menurutnya, struktur yang masih berselerak akan terus membuahkan masalah yang sama walaupun bilangan menteri ditambah.

“Langkah menambah bilangan menteri tanpa memperbetul struktur asas ibarat menambah pemandu tetapi jalan tetap sesak – kesesakan tak hilang, yang bertambah cuma kos gaji,” kata Wong dalam kenyataan.

Isnin lepas, DUN Sarawak meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan Sarawak (Pindaan) 2025 yang membenarkan kerajaan negeri melantik empat lagi menteri.

Ketika membentangkan RUU tersebut, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, Jemaah Menteri negeri perlu diperkukuh ekoran tuntutan tadbir urus yang semakin mendesak.

Menurut Abdul Karim, Jemaah Menteri negeri kini terdiri daripada ketua menteri dan 10 menteri, dengan beberapa menteri memegang berbilang portfolio, menyebabkan beban pentadbiran lebih berat.

Wong berkata, banyak portfolio sedia ada saling bertindih atau bergerak dalam silo, walaupun menguruskan hal-hal hampir sama.

Katanya, struktur yang lebih cekap bukan sahaja mengurangkan kerja berulang, malah memberi menteri fokus lebih jelas.

Sebagai contoh, katanya, portfolio infrastruktur, pelabuhan, pengangkutan, utiliti dan telekomunikasi semuanya melibatkan aspek kesalinghubungan dan sistem perkhidmatan awam.

Menurutnya, jika semua itu diletakkan di bawah satu kementerian infrastruktur, kesalinghubungan dan utiliti, ia akan mewujudkan penyelarasan lebih baik bagi pembangunan jalan, pembesaran pelabuhan, bekalan air bersih dan peluasan capaian internet.

“Apabila fungsi-fungsi ini bergerak seiring, projek bergerak lebih pantas dan wang rakyat diguna dengan lebih cekap,” kata Wong.

Tambahnya, menyatukan portfolio berkaitan akan menjadikan struktur Jemaah Menteri negeri ‘teratur dengan lebih logik, lebih mudah diurus dan lebih berkesan dalam mencapai hasil’.

Beliau turut menggesa kerajaan negeri menerbitkan audit fungsian terperinci kementerian bagi mewajarkan setiap pelantikan baharu dengan data yang kukuh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.