
Komander Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta, Shahrum Hashim, berkata mereka berusia antara 19 hingga 76 tahun terdiri daripada tujuh lelaki tempatan, wanita tempatan (seorang), lelaki warga China (10), lelaki Bangladesh (lapan), dan seorang lelaki Nepal.
“Siasatan mendapati kegiatan itu berlaku sejak Julai 2024. Mereka ditahan termasuk seorang pengurus tapak kuari warga China dan pemeriksaan mendapati semua warga asing bekerja itu melanggar syarat dengan menggunakan pas pelawat untuk ke negara ini.
“Rampasan pula melibatkan bijih timah dengan anggaran berat 4.5 tan, 60 beg jumbo berisi bahan mineral kasar dianggarkan 30 tan, pelbagai mesin memproses bijih timah, dan jentera digunakan untuk kerja di kuari,” katanya menurut Bernama.
Shahrum berkata, serbuan dilakukan Cawangan Risik Briged Utara, PGA Ulu Kinta dengan Pejabat Pengarah Tanah dan Galian negeri serta Jabatan Mineral, dan Geosains Malaysia Perak menerusi Op Bersepadu Khazanah.
Beliau berkata, siasatan bagi kesalahan perlombongan bijih timah secara haram dibuat mengikut Seksyen 426 Kanun Tanah Negara (Akta 828) dan Enakmen Mineral Perak 2003 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Siasatan terhadap pekerja asing terlibat dibuat mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu melanggar syarat tinggal di Malaysia dan Seksyen 39B akta sama kerana melanggar syarat pas atau permit.