
PETALING JAYA: Seorang warga Indonesia ditahan kerana dipercayai menyorok 1.15 juta batang rokok putih bernilai RM2.2 juta di sebuah kawasan kuari dekat Jerus, Pasir Puteh.
Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata serbuan pada 6.30 pagi Jumaat lalu menemui lelaki tanpa dokumen pengenalan diri sah itu bersembunyi dalam sebuah kabin.
“Hasil serbuan, kami menemui 1.15 juta batang rokok putih dalam sebuah kenderaan dan kontena di lokasi berkenaan.
“Rokok-rokok ini disyaki diseludup untuk dijual ke pasaran tempatan,” katanya menurut Sinar Harian.
Beliau berkata suspek dan hasil rampasan diserahkan ke IPD Pasir Putih untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 135(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 6(1) c Akta Imigresen 1959/63.