
Ketua Polis Raub Mohd Shahril Abdul Rahman berkata mangsa Mohammad Fazrul Illahi Ab Rahman, 30, yang berasal dari Tanah Merah, Kelantan sedang mengendalikan jentera pengorek sebelum dihempap runtuhan batu dari kawasan bukit berhampiran.
“Mangsa dipercayai sempat melompat keluar daripada jentera yang dipandunya, sebelum dihempap dan tertimbus.
“Radius kawasan yang tertimbus dianggarkan 300m, manakala kedalaman kawasan tertimbus belum diketahui,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata tiga lagi pekerja warga asing mengalami kecederaan ringan dan kini dirawat di Hospital Raub.
Shahril berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada semalam yang melibatkan polis, Jabatan Bomba serta pelbagai agensi lain berdepan kesukaran berikutan masih berlaku pergerakan tanah.
“Pasukan bomba memohon bantuan Unit Anjing Pengesan (K9) yang dijangka memulakan operasi mengesan mangsa hari ini. SAR pada hari pertama ditangguhkan kira-kira 7.30 malam kerana keadaan lokasi yang gelap,” katanya.
Operasi SAR diteruskan 8 pagi hari ini.