SPRM dijangka panggil Zahid, Hishammuddin berkaitan skandal tukar tanah

SPRM dijangka panggil Zahid, Hishammuddin berkaitan skandal tukar tanah

Ahmad Zahid Hamidi dilantik sebagai menteri pertahanan dari 2009 hingga 2013, sebelum digantikan Hishammuddin Hussein mulai 16 Mei 2013 hingga Mei 2018.

Ahmad Zahid Hamidi (kiri) dan Hishammuddin Hussein.
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dijangka memanggil bekas menteri pertahanan, Ahmad Zahid Hamidi dan Hishammuddin Hussein untuk memberi keterangan berhubung skandal “land swap” atau pertukaran tanah membabitkan tanah kementerian itu.

Bagaimanapun, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Azam Baki tidak mendedahkan butiran lanjut bila kedua-duanya akan dipanggil.

Zahid dilantik sebagai menteri pertahanan dari 2009 hingga 2013, sebelum Hishammuddin menggantikannya mulai 16 Mei 2013 hingga Mei 2018.

Azam dipetik Bernama sebagai berkata, SPRM akan memanggil sesiapa saja yang boleh membantu siasatan kes itu susulan laporan dibuat pejabat menteri pertahanan 3 bulan lalu.

“Kami sedang menjalankan siasatan berhubung 2 kes berkenaan yang dilaporkan dan perlu melihat keseluruhan laporan audit Kementerian Pertahanan,” katanya merujuk laporan dibuat Pegawai Tugas-tugas Khas Kepada Menteri Pertahanan, Mohd Nasaie Ismail pada Februari lalu.

“Ini kerana SPRM terlebih dahulu perlu meneliti dan mengetahui isu-isu jenayah rasuah yang sedang berlaku dalam kes terbabit,” katanya selepas menghadiri majlis penutup kursus “Anti-Corruption Training” untuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Nasional Thailand di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia di sini, hari ini.

Februari lalu, pegawai Mohamad Sabu membuat laporan kepada SPRM membabitkan projek pembinaan Kem Paloh di Johor dan Kem Hutan Melintang, Perak.

Hari ini, Azam berkata, Hishammuddin membuat satu laporan kepada SPRM berhubung kes pertukaran tanah itu minggu lalu.

Katanya, tiada tangkapan dibuat ketika ini berhubung kes itu.

Kementerian Pertahanan membuat laporan berhubung 16 perjanjian pertukaran tanah milik kementerian itu kepada SPRM minggu lalu, susulan hasil siasatan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) dari Julai hingga Disember 2018.

Berdasarkan laporan JKSTUPKK, 13 daripada 16 projek pertukaran tanah itu di bawah pentadbiran terdahulu membabitkan Najib Razak dan Hishammuddin yang menyebabkan kerajaan kerugian lebih RM500 juta.

Hasil siasatan JKSTUPKK turut mendapati berlaku banyak ketirisan, termasuk penjualan tanah pada harga rendah dan projek pertukaran tanah diberikan kepada pemaju tidak berkelayakan.

Semua 16 projek pertukaran tanah itu membabitkan 2,923 ekar tanah milik kerajaan bernilai RM4.7 bilion dengan nilai projek yang sepatutnya dibangunkan ialah RM4.8 bilion.

Hanya 5 projek disiapkan sehingga Disember 2018, 2 dalam pembinaan dan 9 lagi sama ada gagal disiapkan atau dalam proses ditandatangani.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.