
Menurutnya, lima isu tatakelola itu membabitkan pengurusan pelaksanaan projek penerbitan kandungan siaran Studio Radio (Bahan Kreatif) serta tadbir urus Kejohanan Sukan Persatuan Badan Berkanun Malaysia 2023 (Sukanun Ke-12).
“Isu lain yang turut diberi tumpuan adalah pengurusan dan pengagihan tapak bazar Ramadan dan Aidilfitri, pengurusan kutipan sewa bagi projek perumahan rakyat dan perumahan awam.
“Selain itu, penambahbaikan turut disarankan terhadap pengurusan dan pemantauan kontrak pelaksanaan perkhidmatan pengurusan pelbagai lesen perniagaan,” katanya dalam kenyataan.
SPRM memaklumkan syor itu dibentangkan Bahagian Penyiasatan Tatakelolanya (BPT) hasil pemerhatian dan siasatan ke atas prosedur sedia ada.
Cadangan penambahbaikan itu disambut baik Datuk Bandar Kuala Lumpur, Fadlun Mak Ujud, yang menyifatkannya langkah penting dalam memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan serta meningkatkan kecekapan dan integriti DBKL.
Sesi pembentangan itu disampaikan Ketua Cawangan F BPT, Zulhairy Zaidel. Turut hadir Pengarah BPT, Mohd Zaki Hassan, Timbalan Pengarah II, Ahmad Shukri Mohamad Taib dan Timbalan Pengarah III, Norazlina Abd Rahim.