
Ia menyusul susulan pengumuman Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 8 Jan, bahawa kes itu diklasifikasikan sebagai ‘Tiada Tindakan Lanjut’ (NFA) disebabkan keterangan tidak mencukupi untuk meneruskan perbicaraan.
Zahid, yang sebelum ini lepas tanpa bebas (DNAA), memfailkan permohonan berkenaan pada 28 Jan beserta sijil perakuan segera.
Hakim Nurulhuda Nuraini Nor dijadual mendengar permohonan tersebut hari ini, namun Timbalan Pendakwa Raya Badius Zaman Ahmad memohon penangguhan memandangkan kertas kausa hanya diserahkan kepada AGC, pada Jumaat lalu (30 Jan).
“Kami perlu memfailkan afidavit jawapan,” katanya sambil menambah pihak pendakwaan memerlukan masa dua minggu.
Nurulhuda kemudiannya menetapkan 24 Feb untuk mendengar permohonan terbabit.
Peguam Hisyam Teh Poh Teik dan Hamidi Noh hadir mewakili Zahid.
Pada 4 Sept 2024, hakim perbicaraan Collin Lawrence Sequerah memutuskan perintah DNAA kepada Zahid atas 47 pertuduhan rasuah, pengubahan wang, dan pecah amanah jenayah bagi membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan lanjut.
Hakim sebelum itu memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie bagi semua pertuduhan dikenakan. Zahid bersama beberapa saksi pembelaan lain sudah pun memberi keterangan apabila AGC memohon perintah DNAA berkenaan.