Bos Yapeim digantung kerana ugut hukum pengundi PH

Bos Yapeim digantung kerana ugut hukum pengundi PH

Satu rakaman video menunjukkan Ketua Pengarah Yapeim, Abibullah Samsudin menggesa kakitangannya menyokong Barisan Nasional pada pilihan raya umum 9 Mei 2018.

Ketua Pengarah Yapeim, Abibullah Samsudin (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) menggantung Ketua Pengarahnya, Abibullah Samsudin sementara menunggu siasatan ke atas tindakannya memberi amaran kepada kakitangannya tidak mengundi Pakatan Harapan dalam pilihan raya umum tahun lalu.

Pengerusi Yapeim, Mohd Daud Bakar turut mengumumkan pelantikan Pengarah kanan, Parihah Hasan sebagai pemangku ketua pengarah agensi kerajaan itu.

“Sepanjang penggantungan tersebut, jawatankuasa siasatan akan meminta beliau untuk hadir bagi memberi keterangan dan membantu siasatan berkenaan dakwaan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil dilaporkan membuat laporan polis berhubung penularan video seorang lelaki yang didakwa Abibullah mempengaruhi kakitangan Yapeim pada pilihan raya umum lepas.

Pendedahan video itu berlaku ketika Yapeim berdepan dakwaan salah pengurusan kewangan, termasuk dana RM1 juta bagi anak yatim yang didakwa digunakan yayasan itu untuk membayar yuran guamannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.