Yapeim cari punca kuasa kawal NGO kutip derma

Yapeim cari punca kuasa kawal NGO kutip derma

Kerajaan mahu mengelakkan NGO tertentu mengambil kesempatan atas kebaikan rakyat.

Kerajaan tidak mahu rakyat dimanipulasikan oleh NGO yang mewujudkan tabung segera tetapi tak menyumbang, tegas Menteri Na’im Mokhtar. (Gambar Bernama)
TELOK PANGLIMA GARANG:
Kerajaan menerusi Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) sedang berbincang dan mencari punca kuasa bagi mengawal badan bukan kerajaan (NGO) yang mengutip derma kemanusiaan, untuk didaftarkan di bawah yayasan berkenaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar berkata usaha itu bagi mengelakkan NGO tertentu mengambil kesempatan atas kebaikan rakyat yang sangat prihatin dengan isu kemanusiaan.

“Yapeim juga boleh menyenaraihitamkan NGO yang didapati menyeleweng wang yang disumbangkan oleh orang awam.

“Kerajaan tidak mahu pihak ini memanipulasi rakyat dengan mewujudkan tabung segera tetapi tidak menyumbangkan kepada mereka yang memerlukan,” katanya pada sidang media selepas program Yapeim di Masjid Al-Hidayah.

Na’im turut menyeru orang awam supaya memeriksa latar belakang sesebuah NGO sebelum menyalurkan sebarang sumbangan.

“Saya sarankan menderma di Tabung Musaadah Rahmah Madani Jabatan Kemajuan Islam Malaysia-Yayasan Wakaf Malaysia. Saya pasti (tabung) memberikan sumbangan rakyat kepada rakyat Palestin dan golongan sasar yang memerlukan sumbangan ini.

“Orang ramai juga boleh semak beberapa NGO yang berdaftar di bawah Yapeim, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutan, dan Yayasan Taqwa,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.