Polis cari wanita muat naik rakaman Ismanira bersama Zayn Rayyan

Polis cari wanita muat naik rakaman Ismanira bersama Zayn Rayyan

Ketua Polis Petaling Jaya Shahrulnizam Ja’afar berkata wanita itu individu terawal memuat naik video tersebut di kumpulan WhatsApp.

Zayn Rayyan Abdul Matiin
Zayn Rayyan Abdul Matiin dilapor hilang pada 5 Dis 2023 dengan mayatnya ditemukan sehari kemudian berdekatan Apartmen Idaman, Damansara Damai. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Polis mengesan seorang wanita dipercayai individu pertama memuat naik video yang merakamkan ibu Zayn Rayyan Abdul Matin berjalan bersama dua anaknya, tidak lama sebelum kanak-kanak itu ditemukan mati.

Ketua Polis Petaling Jaya, Shahrulnizam Ja’afar, berkata wanita itu adalah individu terawal yang memuat naik video berkenaan dalam kumpulan WhatsApp, sebelum ia tular di media sosial, lapor Sinar Harian.

“Selain itu, pemilik akaun media sosial yang turut memuat naik video tersebut baru-baru ini sehingga tular juga sudah tampil membuat laporan di Balai Polis Alor Gajah,” katanya.

Ismanira Abdul Manaf dilapor membuat laporan polis pada 6 Mac lalu selepas menerima pautan video berdurasi lebih kurang seminit itu menerusi WhatsApp.

Ketua Polis Sungai Buloh, Mohd Hafiz Muhammad Nor, berkata rakaman menunjukkan pengadu sedang berjalan sambil memegang tangan dua anaknya, Zayn Rayyan dan Mateen, berusia enam tahun menuju ke kawasan parkir motosikal Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai.

“Pengadu merasakan bahawa individu tidak dikenali ini merakam video tersebut dari kawasan blok Apartmen Idaman berhadapan dengan Blok R.

“Rakaman dibuat dari ketinggian yang menunjukkan perakam kemungkinan besar adalah seorang penghuni di salah satu tingkat lima atas blok tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pengadu percaya ia bukan kebetulan kerana tidak lama selepas rakaman dibuat, Zayn Rayyan ditemui mati dengan jarak lebih kurang 200m, dari lokasi video itu dirakam.

Zayn Rayyan dilapor hilang pada 5 Dis 2023 dan jasadnya ditemukan di anak sungai berdekatan kediamannya sehari kemudian.

Dia dipercayai dibunuh selepas bedah siasat mendedahkan terdapat kesan cedera di leher dan badannya, konsisten untuk mempertahankan diri.

Ibu bapanya, Ismanira dan Zaim Ikhwan Zahar dibicarakan di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan pengabaian kanak-kanak itu, dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya di sekitar Blok R sehingga ke anak sungai berhampiran Apartmen Idaman Damansara Damai, pada 12 tengah hari, 5 Dis hingga 9.55 malam, 6 Dis 2023.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.