Akta 355: Kertas kerja ke MKI sedang disediakan

Akta 355: Kertas kerja ke MKI sedang disediakan

Perbincangan bersama pihak agensi agama Islam negeri sudah selesai, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na'im Mokhtar.

Kertas kerja berkaitan penambahbaikan Akta 355 untuk dibawa ke mesyuarat MKI sedang disediakan. (Gambar Bernama)
KANGAR:
Kerajaan kini di peringkat menyediakan kertas kerja berkaitan penambahbaikan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau Akta 355 untuk dibawa ke mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar berkata rundingan dan perbincangan bersama pihak agensi agama Islam negeri mengenai usaha penambahbaikan itu sudah selesai.

“Insya-Allah, kita di peringkat menyediakan kertas dan kita akan bawa masuk ke mesyuarat MKI yang berperanan untuk menyelaras semua perkara berkaitan hal ehwal Islam termasuk pelaksanaan undang-undang syariah,” katanya kepada pemberita selepas program Sinar Lestari Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) Perlis di Utan Aji.

Beliau mengulas perkembangan terkini usaha penambahbaikan dan pindaan pada Akta 355.

Na’im juga berkata Yapeim memperuntuk RM10.6 juta melalui program Sinar Lestari di seluruh Malaysia sejak Oktober 2020, membabitkan 240 projek bina rumah baharu dan baik pulih kediaman yang memanfaatkan ratusan penduduk miskin tegar serta keluarga berpendapatan rendah.

“Secara keseluruhan, program Sinar Lestari di Perlis telah memanfaatkan tujuh penerima membabitkan peruntukan berjumlah RM188,519 yang merangkumi penyerahan bantuan bengkel perusahaan kepada seorang penerima manakala enam lagi projek baik pulih rumah dan bantuan perniagaan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.