Skandal rasuah Adun Sabah: SPRM keluar analisis 10 video ‘dalam masa terdekat’

Skandal rasuah Adun Sabah: SPRM keluar analisis 10 video ‘dalam masa terdekat’

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata, analisis terperinci kesemua 10 rakaman video berkait isu rasuah lesen lombong mineral itu masih berjalan.

Azam bin Baki
Azam Baki sebelum ini dilaporkan berkata, beliau telah mengarahkan makmal forensik SPRM agar menyiapkan analisis 10 video berkait skandal rasuah Adun Sabah secepat mungkin.
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengeluarkan laporan analisis forensik 10 rakaman video terbaru berhubung dakwaan skandal rasuah Adun Sabah dalam masa terdekat.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata, analisis terperinci kesemua 10 rakaman video berkait isu rasuah lesen lombong mineral itu masih berjalan.

“Saya jangkakan laporan tersebut akan siap dalam masa terdekat kerana pihak forensik sedang menjalankan penelitian secara terperinci terhadap kesemua 10 rakaman audio itu,” katanya pada sidang media selepas sebuah majlis di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur, lapor Bernama.

Tambahnya, setakat ini, lapan individu sudah dipanggil untuk memberikan keterangan, termasuk satu kes baharu melibatkan tohmahan mengaitkan nama Speaker DUN Sabah Kadzim M Yahya.

Azam sebelum ini dilaporkan berkata, beliau telah mengarahkan makmal forensik SPRM agar menyiapkan analisis itu secepat mungkin.

Katanya, analisis terhadap lapan video terdahulu mendapati ada unsur-unsur penambahbaikan, suntingan dan sebagainya.

Tambahnya, video-video itu didapati tiada kredibiliti untuk dijadikan bahan bukti dalam siasatan serta tidak boleh diterima dalam mahkamah.

Menurut Azam, 10 video baharu itu lebih panjang tetapi perlu dilihat jika ada suntingan, ‘break in frame’, serta pengubahsuaian lain, serta audionya turut perlu diteliti.

Tahun lepas, sebuah portal melaporkan mengenai beberapa rakaman video memaparkan Adun negeri itu didakwa menerima ratusan ribu ringgit bagi menyokong permohonan syarikat untuk projek.

Sementara itu, berhubung perkembangan Op Sky, berkait sindiket rasuah dan pengubahan wang haram dalam kalangan pegawai bank serta organisasi perunding kewangan, Azam berkata, kertas siasatan kes akan dihantar kepada timbalan pendakwa raya minggu depan.

“Pegawai penyiasat kes Op Sky ini sudah melengkapkan kertas siasatan dan sedang dikemas kini. Kertas siasatan dijangka akan dikemukakan kepada timbalan pendakwa raya minggu depan,” katanya.

Menerusi operasi Op Sky Januari lepas, SPRM dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) menahan 12 individu dalam serbuan di 24 lokasi, termasuk kediaman dan pejabat di sekitar Lembah Klang.

Setakat ini, 27 individu ditahan termasuk 18 pegawai bank, lapan petugas syarikat perunding kewangan serta seorang orang awam, dengan kesemuanya telah dilepaskan dengan jaminan SPRM.

Dalam operasi itu, SPRM merampas kira-kira 4,000 dokumen dan membekukan 98 akaun bank melibatkan lebih RMI7 juta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.