Lelaki Indonesia dipenjara selepas buka kilang papan dalam hutan simpan

Lelaki Indonesia dipenjara selepas buka kilang papan dalam hutan simpan

Tertuduh didakwa menguruskan kilang papan bergerak tanpa lesen di kompartmen 129, Hutan Simpan Bukit Ibam, Kuantan.

Seorang warga Indonesia dipenjarakan selama 8 bulan, selepas mengaku salah atas tuduhan menguruskan kilang papan haram dan menceroboh Hutan Simpan Bukit Ibam. (Gambar Facebook)
KUANTAN:
Mahkamah Sesyen hari ini, memerintahkan warga Indonesia dipenjarakan selama 8 bulan, selepas mengaku salah atas tuduhan menguruskan kilang papan haram dan menceroboh hutan simpan, Januari lepas.

Hakim Siti Aminah Ghazali memerintahkan Amirudin, 55, menjalani hukuman itu bermula daripada tarikh dia ditangkap pada 31 Jan lepas.

Amirudin didakwa menguruskan kilang papan bergerak tanpa lesen pada 12.15 tengah hari, 31 Jan lepas di kompartmen 129, Hutan Simpan Bukit Ibam.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut subseksyen 3(3) Enakmen Industri Berasaskan Kayu 1985 (Negeri Pahang) yang boleh dihukum di bawah subseksyen 3(4) enakmen sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM25,000 atau penjara sehingga 2 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga didakwa menceroboh kawasan hutan tertutup tanpa kebenaran pada masa dan di tempat yang sama, yang merupakan kesalahan di bawah subseksyen 47(1) Akta Perhutanan Negara 1984 dan boleh dihukum mengikut subseksyen 47(4) akta sama.

Kesalahan itu boleh dihukum denda maksimum RM10,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding itu, tertuduh yang bertubuh kecil itu dan tidak diwakili peguam merayu hukumannya diringankan atas alasan menanggung keluarga di negara asal.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya dari Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia Mason Jaro Lenya Barayan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal untuk memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat awam.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh ditahan dalam Op Tanglung yang dijalankan Jabatan Hutan Pahang semasa sedang memandu jentera “forklift” yang dipercayai digunakan untuk mengangkat kayu ke kilang bergerak di situ.

Dalam operasi itu, pihak penguatkuasaan jabatan hutan turut menyita peralatan kilang itu antaranya 1 mesin gergaji 30 inci, enjin diesel, tangki minyak dan 15 gelung mata gergaji.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.