
Majistret Naidatul Athirah Azman menjatuhkan hukuman itu ke atas Rasyid Arshad, 52, dan Mustari, 55, yang mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepada mereka.
Mereka didakwa bersama menipu seorang lelaki 77 tahun dengan memperdaya mangsa kononnya tertuduh memenangi loteri dan ingin menuntut wang kemenangan itu menggunakan kad pengenalan mangsa.
Tertuduh kemudian meminta mangsa menyerahkan RM15,000 dan berjanji akan memulangkan wang itu bersama ganjaran RM10,000 selepas wang kemenangan diperoleh tertuduh, tetapi dua lelaki itu menghilangkan diri selepas menerima RM15,000.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah pasar raya serbaneka di Lorong Agenda 1, Medaniaga Lagenda Hutan Melintang di Bagan Datuk pada 11 pagi 19 Jan lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta hendaklah didenda, jika sabit kesalahan.
Majistret memerintahkan kedua-dua tertuduh dipenjara lima bulan, selepas mereka mengaku bersalah memasuki Malaysia tanpa dokumen sah mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Darwis Aghniya Halim Azizi, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Faustina Francis.