
Menurut sumber, kesemua suspek lelaki berusia dalam lingkungan 40 hingga 60an itu ditahan antara 12 tengah hari hingga 3 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Raub.
Mereka dipercayai mengusahakan kebun tanaman durian serta terlibat dalam amalan pengubahan wang haram dengan memperoleh, menerima, memiliki, memindah dan menggunakan wang daripada kegiatan hasil tanaman pokok durian.
“Siasatan awal mendapati kesemua suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut secara berasingan pada 2024 hingga tahun ini dan mereka memperoleh keuntungan daripada aktiviti haram berkenaan hingga mencecah ratusan ribu ringgit.
“Empat suspek yang merupakan pekebun dipercayai terlibat dalam urus niaga haram ini secara turun-temurun yang juga didapati enggan menyertai program pemutihan yang ditawarkan,” katanya.
Kesemua suspek kini direman empat hari hingga 3 Okt selepas perintah reman dikeluarkan Majistret Mohd Fauzan Mohd Suhairi selepas meneliti permohonan SPRM.
Sementara itu, Pengarah SPRM Pahang Mohd Shukor Mahmud ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (Amla) 2001.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan beberapa siri tangkapan susulan akan dibuat bagi membantu siasatan.
Susulan Op Sekat yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri bermula 25 April 2024, SPRM Pahang telah menjalankan operasi secara bersepadu bersama Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang bermula 2 hingga 19 Sept lepas dalam usaha mengenal pasti 33 lokasi kebun durian haram dalam kawasan tanah kerajaan dan hutan simpan kekal.