
Ketua Polis Kuala Langat Mohd Akmalrizal Radzi berkata, pihaknya percaya suspek turut membawa sebilah pisau yang dipercayai digunakan semasa kejadian.
Beliau berkata, polis percaya motif kejadian disebabkan suspek berumur 45 tahun itu tidak berpuas hati dengan mangsa selepas mereka bercerai.
“Suspek turut menuduh majikan mangsa menghasut mangsa untuk tidak merujuk semula hubungan sebagai suami isteri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Akmalrizal berkata, suspek dikenali sebagai Sanusi Saripin itu telah setahun bercerai dengan isterinya.
Semalam, Mohd Akmalrizal mengesahkan seorang wanita warga Indonesia mengalami pendarahan dalaman akibat ditikam di bahagian kiri perut dalam kejadian kira-kira 8.50 pagi di Jalan Redan Kanchong Darat, Banting.
Mangsa berusia 44 tahun telah dibawa ke unit kecemasan zon merah Hospital Banting untuk rawatan lanjut.
Menurut Mohd Akmalrizal, pihaknya telah menghubungi pasukan forensik daripada IPK Selangor dan Unit K9 Bukit Aman untuk membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.