
“Risiko virus itu merebak ke Malaysia dan daripada orang yang dijangkiti adalah rendah melainkan mereka mempunyai sejarah berhubung dengan haiwan yang dijangkiti (atau) dalam kalangan pelancong dari negara endemik di Barat dan Afrika Tengah, terutama Nigeria,” Timbalan Menteri Kesihatan Lee Boon Chye memberitahu FMT.
Beliau menambah Bahagian Kawalan Penyakit kementeriannya akan sentiasa memantau berita dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan menjalankan pengawasan pasif terhadap kes cacar monyet yang disyaki di Malaysia.
Cacar monyet adalah penyakit zoonotik yang disebarkan oleh haiwan kepada manusia, yang disebabkan oleh virus cacar monyet.
Virus ini tersebar kepada manusia melalui gigitan atau sentuhan langsung dengan darah, cecair badan, atau lesi kulit atau mukosa serta titisan pernafasan haiwan yang dijangkiti.
Lee berkata virus cacar monyet juga boleh dipindahkan melalui sentuhan langsung dengan cecair badan seseorang yang dijangkiti, atau objek yang dicemari virus itu seperti tempat tidur atau pakaian.
Ia dicirikan dengan tanda dan gejala seperti cacar kecil, dengan demam yang disertai pembesaran nodus limfa, keletihan, sakit kepala dan ruam kulit.
Masa pengeraman virus adalah antara 5 hingga 21 hari, katanya, penyakit itu biasanya berlangsung selama 2 hingga 4 minggu.
Beliau berkata cacar monyet mempunyai kadar kematian kira-kira 10% di mana pemulihan berlaku 9 daripada 10 kes.
Kementerian Kesihatan Singapura yang mengesahkan 1 kes jangkitan cacar monyet semalam, berkata pesakit berusia 38 tahun itu adalah warga Nigeria yang tiba di Singapura pada 28 April dan diuji positif cacar monyet pada 8 Mei.
Beliau kini ditempatkan di wad pengasingan di Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID), dan keadaannya stabil.
Lee menasihati mereka yang melakukan perjalanan ke kawasan terjejas oleh cacar monyet seperti ke Barat dan Afrika Tengah mengambil langkah berjaga-jaga termasuk mengekalkan kebersihan dan kerap membasuh tangan selepas menggunakan tandas atau ketika tangan kotor.
Beliau juga memberi tip berikut:
- Hindari sentuhan langsung dengan lesi kulit hidupan yang dijangkiti atau mayat atau haiwan, serta objek yang mungkin tercemar dengan cecair yang dijangkiti seperti pakaian yang kotor atau kain yang digunakan oleh orang yang dijangkiti.
- Hindari bersentuhan dengan haiwan liar dan memakan dagingnya.
- Pelancong yang kembali dari kawasan yang terjejas oleh cacar monyet perlu mendapatkan rawatan perubatan dengan segera jika mereka mengalami simptom penyakit dalam tempoh 3 minggu selepas pulang, dan memaklumkan kepada doktor mengenai sejarah perjalanan mereka.